MIIEX’24: Martabat peranan OKU dalam inovasi
SERI NEGERI 20 Mac – Program Melaka International Intelectual Exposition 2024 (MIIEX’24) dijadual dari 5 hingga 12 Jun depan bakal menghimpunkan delegasi pemain industri domestik dan antarabangsa.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, program anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka dengan kerjasama Kerajaan Negeri akan membawa kelainan dengan memartabatkan orang kurang upaya (OKU) dalam penghasilan produk inovasi.
Fairul Nizam berkata, selain hasil inovasi warga UiTM, MIIEX’24 juga akan disertai wakil beberapa Institusi Pengajian Tingga (IPT) awam dan swasta, pihak swasta, agensi serta jabatan kerajaan.
“Program berlangsung selama lapan hari ini akan diadakan secara dalam talian. Pada 12 Jun pula akan berlangsung pameran dan konvensyen di Dewan Taming Sari, UiTM Alor Gajah.
“Kita sasarkan sebanyak 100 kumpulan akan menyertai pameran pada hari berkenaan dan 50 delegasi daripada Unit Perkhidmatan OKU di setiap IPT terlibat akan mengadakan konvensyen pada MIIEX’24.
“Setakat ini saya dimaklumkan beberapa negara seperti Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand dan Brunei selain dari Eropah dan China juga berminat untuk menyertai MIIEX’24,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Fairul Nizam berkata, MIIEX’24 juga secara tidak langsung melebarkan lagi peranan OKU dalam penghasilan inovasi.
Jelas beliau, selain menumpukan inovasi dalam sektor perindustrian peranan OKU begitu penting bagi mengangkat kehidupan mereka ke arah yang lebih baik.
“Jadi kepada masyarakat di luar sana kadang-kadang kita fikir inovasi kita ini lekeh sahaja, tetapi idea yang lekeh inilah kadang-kadang memberi impak yang besar dalam sektor-sektor tertentu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.