Paras air Tasik Ayer Keroh menyusut kerana dipam ke ‘Bunded Storage’
ALOR GAJAH, 20 Mac – Penyusutan air yang berlaku di Tasik Ayer Keroh ketika ini disebabkan proses pengepaman ke Bunded Storage di Empangan Durian Tunggal.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata proses tersebut, bagi membekalkan air ke Loji Rawatan di Bertam untuk kegunaan keseluruhan penduduk di Bandar Melaka.
“Proses pengepaman itu juga biasa berlaku bagi mengawal paras air di empangan utama di negeri ini dan kini proses pengambilan air dilakukan di Sungai Kesang.
“Tasik Ayer Keroh merupakan kolam tadahan alternatif bagi Empangan Durian Tunggal dan masalah air tasik berkurangan itu bukannya disebabkan isu cuaca seperti yang diperkatakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadan dan Berbuka Puasa bersama Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara dan Parlimen Masjid Tanah di Masjid Nur Jannatul Bahri, Kampung Ayer Hitam Pantai di sini.
Hameed berkata selain tasik berkenaan, terdapat banyak kolam tadahan alternatif lain di negeri itu, antaranya Tasik Biru yang masih belum digunakan sepenuhnya.
Dalam pada itu beliau berkata berdasarkan bacaan semasa, paras air di tiga empangan utama di negeri itu juga masih merekodkan bacaan normal.
Beliau berkata Empangan Durian Tunggal merekodkan bacaan lebih 80 peratus, manakala Empangan Jus dan Empangan Asahan melebihi paras 90 peratus.
“Justeru rakyat di negeri ini tidak perlu tidak perlu khuatir mengenai masalah bekalan air, meskipun ketika ini dijangka berdepan cuaca panas terik yang berlarutan sehingga April.
“Bekalan air masih mampu bertahan sehingga Ogos jika berlaku kemarau berpanjangan dan sekiranya hujan dalam masa terdekat, pihak kita akan mengemas kini dari semasa ke semasa, insya-Allah di Melaka tidak mengalami masalah bekalan air atau catuan dilakukan dalam masa terdekat,” katanya.
Terdahulu tular gambar di media sosial yang menunjukkan paras air di Tasik Ayer Keroh menyusut.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.