Penganggur ditahan miliki 600 pil yaba
Masa Membaca:43 Saat
KOTA BHARU, 11 Mac – Seorang penganggur ditahan kerana memiliki 600 biji pil Yaba yang dianggarkan bernilai RM6,000 di tepi jalan kawasan sawah di Kampung Banggol Pak Esah, di Pasir Puteh, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Supt Zaizul Rizal Zakaria dalam kenyataan berkata lelaki berumur 21 tahun itu ditahan pada 9.10 malam tadi oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Pasir Puteh.
Beliau berkata hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan lelaki itu, polis menjumpai pil Yaba dan turut menyita sebuah kereta jenis Honda Civic.
“Hasil ujian saringan awal polis ke atas air kencing suspek mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Zaizul Rizal berkata suspek direman tujuh hari hingga 17 Mac ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.
Views:
2487