Sorting by

×

Sudah empat tahun beg sekolah tidak berganti

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

TANJUNG Bidara 10 Mac – Sudah empat tahun beg sekolah tidak berganti, namun ia bukan satu masalah buat gadis ini yang lebih mementingkan keperluan tiga adik dan dua lagi kakaknya yang tinggal di asrama.

Menyedari kekangan kewangan dihadapi ibu selepas bapanya tidak dapat bekerja akibat masalah usus dan hati, Nur Adhi Eryna Mohd Zaki, 15, juga selesa memakai pakaian seragam yang sedia ada tanpa terlalu memilih atau meminta untuk diganti baharu.

Anak ketiga daripada enam adik-beradik ini, tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira selepas menerima bantuan daripada Yayasan Pelajaran Mara (YPM) yang disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hang Kasturi ini berkata, wang tunai diterima bukan semata-mata untuk kegunaan dirinya, tetapi dikongsi bersama adik-beradik yang lain.

“Sekarang ini ibu bergantung kepada pendapatan hasil komisyen jualan ‘kopi gantung’ dihantar ke kedai sekitar Masjid Tanah. Ibu tulang belakang keluarga yang menampung kami enam beradik selepas ayah tidak boleh bekerja akibat masalah kesihatan sejak lebih tujuh tahun lalu.

“Alhamdulillah hasil inisiatif Ketua Menteri, saya dapat lengkapkan semua keperluan persekolahan kerana sebelum ini terpaksa mendahulukan adik-adik dan dua kakak,” katanya ketika ditemui pada Program Bantuan Khas Bantuan Persekolahan YPM 2024 di Villa D’Acqua, Kampung Pulau, Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Sementara itu bagi Noor Hidayah Rihan, 36, bantuan diberikan amat bermakna bagi dirinya yang mempunyai enam tanggungan termasuk empat anak saudara.

“Anak saudara juga ada terima bantuan lain dan sumbangan diterima dua dari mereka kali ini meringankan sedikit beban dalam menyiapkan segala keperluan persekolahan semua tanggungan yang berjumlah ribuan ringgit.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada Ketua Menteri, ringan sedikit beban kami. Saya adalah suri rumah dan hanya bergantung kepada pendapatan suami yang bekerja kilang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

572
Kongsi :
Previous post Gembleng tenaga lahir modal insan kelas pertama – KM
Next post 1.44 juta murid, pelajar mulakan sesi persekolahan di empat negeri hari ini
Ubah saiz-+=