Sorting by

×

Wujud sekolah autisme untuk golongan B40

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

SERI NEGERI 7 Mac – Kerajaan Negeri akan mewujudkan sekolah autisme bagi keluarga golongan B40 yang memerlukan perkhidmatan pendidikan untuk anak-anak istimewa mereka.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata cadangan lokasi bagi pembinaan sekolah berkenaan adalah di Bukit Peringgit.

“Adalah menjadi hasrat saya supaya perkara ini dapat direalisasikan, sekolah autisme ini perlu diwujudkan untuk golongan B40 yang tidak mampu menghantar anak mereka ke sekolah swasta berbayar.

“Setakat ini hanya ada sebuah sekolah autisme di bawah seliaan Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) di Bukit Peringgit dan bayaran dikenakan adalah RM350.

“Jadi saya fikir mengapa tidak kita wujudkan sekolah ini untuk keluarga B40, mungkin akan ada sedikit bayaran tetapi dalam nilai minimum sahaja dan tidak membebankan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Katanya, untuk mewujudkan sekolah autisme memerlukan peruntukan yang besar kerana segala fasiliti dan prasarananya berbeza.

“Kemudahan sekolah autisme ini berbeza, contoh perlu ada satu bilik khas untuk menenangkan anak-anak ini jika mereka mengamuk.

“Guru-guru yang dilantik pula adalah mereka yang benar-benar terlatih dan mempunyai sijil tentang cara mengendali dan mendidik anak autisme ini,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

384
Kongsi :
Previous post Peruntukan lebih RM1 juta baik pulih 29 SRA JAIM
Next post TMM2024: Melaka sasar 130,000 pelancong kesihatan
Ubah saiz-+=