Ketua Menteri cakna kecemerlangan akademik anak polis
MACHAP JAYA 4 Mac – “Memang saya tidak sangka, kelu sebentar kerana terlampau teruja apabila menerima sumbangan yang disampaikan sendiri oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
“Semua ini adalah pengiktirafan amat bermakna dan menyuntik semangat dalam diri saya untuk terus mencapai kecemerlangan pada masa akan datang,” kata J Kennysha Jesnee, 19, pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Kennysha yang juga anak kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata, sumbangan disampaikan Ketua Menteri sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan pengajiannya dan melakukan persediaan menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Haji Talib Karim ini berkata, menerima sumbangan disampaikan Ketua Menteri sambil disaksikan ibu bapa adalah antara pengalaman manisnya setakat ini.
“Saya melihat kepimpinan Ketua Menteri begitu cakna terhadap aspek kecemerlangan akademik orang muda, ini termasuk anak-anak polis. Kami semua sayang Ketua Menteri.
“Keprihatinan Ketua Menteri menjadi dorongan kepada anak-anak polis di Alor Gajah ini untuk terus berjaya. Saya berazam untuk menjadi seorang peguam sebab ayah saya seorang detektif yang bertugas di daerah ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu, seramai sembilan pelajar cemerlang terdiri daripada anak-anak pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah yang diraikan menerima sumbangan wang tunai dan kit makanan menerusi Program Community Policing Ketua Menteri Melaka Bersama Warga PDRM Alor Gajah diadakan di perkarangan IPD Alor Gajah, di sini, semalam.
Pada program sama Ketua Menteri turut menyampaikan sumbangan kepada 11 penerima terdiri daripada anak-anak istimewa anggota polis dan lapan penerima sumbangan bagi pesakit kritikal
Sementara itu, bapa Kennysha, T Jeyaraj, 52, berkata, program diadakan mampu menyuntik semangat kepada pegawai dan anggota polis serta ahli keluarga mereka untuk bersama kepimpinan Kerajaan Negeri.
“Dalam tempoh 26 tahun berkhidmat bersama PDRM, ini kali pertama saya melihat anak sendiri menerima penghargaan daripada Kerajaan Negeri. Ini saya anggap satu pengiktirafan bermakna buat kami sekeluarga.
“Terima kasih kepada Ketua Menteri yang merakyatkan kepimpinan PDRM bersama Kerajaan Negeri dan berharap keluarga polis terus diberikan perhatian terutama membabitkan aspek kebajikan serta kecemerlangan anak-anak dalam pendidikan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.