Sorting by

×

Kerajaan tidak pandang ringan isu penurunan ringgit

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KUALA LUMPUR, 23 Feb – Kerajaan MADANI tidak memandang ringan isu penurunan ringgit, malah mengambil langkah berterusan bagi menanganinya dan seiring usaha memastikan angka pelaburan Malaysia kekal utuh.

Ketika menegaskan pendirian itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Bank Negara Malaysia (BNM) telah dipertanggungjawabkan untuk memantau ringgit secara rapi manakala di pihak kerajaan, semua kementerian dan pihak berwajib, termasuk majlis pelaburan turut mengadakan mesyuarat harian bagi memberi tumpuan menangani isu berkenaan.

Pada masa sama, Perdana Menteri juga meminta semua pihak agar tidak membandingkan perkembangan semasa dengan keadaan pada 1998 yang tidak hanya menyaksikan penyusutan nilai ringgit, tetapi turut terjejas dari segi pelaburan dan inflasi.

“(Ya), penurunan ringgit itu membimbangkan. Kita melihat ke hadapan, namun berdasarkan angka pelaburan yang mana Malaysia mencatat rekod pelaburan terbesar dalam sejarah; inflasi terus menurun dan pertumbuhan adalah berdaya tahan berbanding negara-negara jiran.

“Sehubungan itu, bagi saya, kita perlu melihatnya dari perspektif secara menyeluruh dan keupayaan negara untuk mencatat pertumbuhan. Apa yang paling utama bagi saya adalah memastikan angka-angka pelaburan ini.

“Mereka sering membandingkan dengan keadaan pada 1998 tetapi (perlu diingat) pada tahun itu ringgit merosot, inflasi meningkat, pengangguran tinggi dan tiada pelaburan,” kata beliau.

Anwar berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Tun Razak Exchange sebagai Pusat Kewangan Antarabangsa Malaysia di sini, hari ini.

Mengulas sama ada prestasi ringgit menjejaskan keyakinan terhadap negara, Perdana Menteri berkata sekiranya benar, Malaysia tidak mungkin berupaya mencapai angka pelaburan tertinggi dalam sejarah iaitu RM329.5 bilion pada tahun lepas — peningkatan sebanyak 23.0 peratus berbanding 2022.

Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan turut memberi tumpuan dalam usaha membuat keputusan atau melaksanakan langkah wajar yang perlu diambil setiap hari.

“Kita akan terus memantau keadaan setiap hari, termasuk soal kos sara hidup dan kesannya terhadap kehidupan rakyat,” katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

696
Kongsi :
Previous post MAIM pastikan dapur asnaf terus berasap
Next post Tukar barang buangan jadi duit
Ubah saiz-+=