Melaka gamit lebih 150,000 pengunjung pada 20 Februari
KOTA LAKSAMANA 23 Februari – Melaka menerima kunjungan lebih 150,000 pengunjung dan pelancong sempena Hari Ulang Tahun Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu Ke-68 pada tanggal 20 Februari lalu.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, jumlah tersebut merangkumi kehadiran pengunjung di 11 produk pelancongan yang menawarkan tiket masuk percuma, selain 30,000 lagi turut direkodkan di Jonker Walk.
Katanya, perkara tersebut merupakan petanda positif kepada kejayaan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
“Saya amat berbesar hati dan menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia kerana sudi hadir pada 20 Februari yang lepas sempena Hari Ulang Tahun Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu kali ke-68.
“Kehadiran pemimpin utama dan terpenting ini membawa rahmat dan berita baik kepada rakyat Negeri Melaka dalam usaha untuk kita memacu Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Negeri Melaka 2024 di Jonker Walk, di sini, malam tadi.
Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem.
Turut bersama, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Roslan Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.