Arkib Komuniti kumpul khazanah warisan negara
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata menerusi program berkenaan, pihaknya akan berusaha mengumpulkan semua dokumen dan bahan berkaitan sejarah negara untuk disimpan di ANM.
“Itu hasrat baharu kita sebab banyak sejarah dan peristiwa di peringkat komuniti yang dari dulu sebelum merdeka, masa penjajahan British dan sebagainya masih tak dapat dikumpul dengan begitu banyak.
“Kita akan berusaha sebaik mungkin untuk mengumpulkan sebanyak-banyaknya (bahan) sejarah daripada tokoh-tokoh, individu dan komuniti untuk dibawa kepada Arkib (ANM) dan disimpan dan akan menjadi bahan rujukan pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Wacana Ilmu Sempena Peristiwa Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu 1956 dan Pelancaran Buku KarTunku 1957-1963: Lakaran Eksklusif Bapa Kemerdekaan, Bapa Malaysia di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di sini semalam.
Hadir sama Timbalannya Senator K Saraswathy serta Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem.
Dalam pada itu, Aaron berkata ANMÂ juga sentiasa berusaha membawa balik bahan-bahan berkaitan sejarah negara yang berada di luar negara agar boleh disimpan sebagai khazanah negara.
“Arkib sentiasa buat kunjungan ke luar negara, cuma mungkin yang jadi kekangan adalah bajet kita tapi setakat ini semuanya baik,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.