Melaka ‘ketuk’ hati hayati erti merdeka – PM
BANDA HILIR 20 Februari – Majlis Memperingati Peristiwa Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu Di Melaka anjuran Kerajaan Negeri disifatkan sebagai bukan upacara biasa.
Sebaliknya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggapnya sebagai satu majlis yang mengharukan dan mampu mengetuk pintu hati dan nurani dalam menghayati erti kemerdekaan.
Menurut beliau, majlis itu juga mendidik rakyat untuk mengenang jasa pejuang kemerdekaan yang sanggup bergadai nyawa dalam membawa negara mencapai kemerdekaan.
“Saya berasa sangat terharu. Ini bukan satu upacara biasa, tetapi luar biasa. Malam ini mengetuk pintu hati dan nurani kita bahawa di sini tempat kita pernah diperhambalan selama 400 tahun.
“Di sini jugalah tempat pemimpin-pemimpin yang memperjuangkan kemerdekaan datang mengumumkan kepada rakyat Tanah Melayu dan Melaka bahawa keadaan sudah berubah dan negara kita sudah merdeka.
“Terima kasih Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh. Sangat hebat Melaka pada malam ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Memperingati Peristiwa Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu di perkarangan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, di sini, malam ini.
Majlis itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh serta isteri Datin Seri Utama Zuriyah Ab Aziz.
Hadir sama, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.