Melaka cipta semula memori 20 Februari 1956
BANDA HILIR 20 Februari – Bagai mengembalikan memori detik pengisytiharan tarikh kemerdekaan di Padang Pahlawan, Bandar Hilir pada tanggal 20 Februari 1956.
Itu gambaran suasana Majlis Memperingati Peristiwa Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu Di Melaka, bertempat di perkarangan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Banda Hilir, malam ini.
Malah, orang ramai yang hadir turut kelihatan ‘sporting’ apabila bersama mengenakan busana era 50-an iaitu berbaju kebangsaan yang dipadankan dengan samping kain pelikat serta bersongkok.
Dianggarkan seramai 50,000 pengunjung membanjiri perkarangan bangunan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan bagi menyaksikan acara penuh gilang-gemilang ini.
Menariknya, majlis itu turut menjelmakan semula detik perarakan rombongan pengumuman tarikh kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, 68 tahun lalu.
Perarakan menaiki kereta Nash Rambler Custom Airflyte bernombor pendaftaran M4442 milik Tunku Abdul Rahman antara yang mencuri tumpuan ramai pada majlis ini.
Rombongan tersebut diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Turut bersama, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing yang diiringi rombongan yang memegang sepanduk kemerdekaan.
Perarakan itu bermula di hadapan Bangunan Stadthuys dan tiba di depan Bastion House yang menyaksikan Perdana Menteri menyempurnakan gimik pemeriksaan barisan pemuda berbilang bangsa.
Acara diteruskan dengan ucapan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman yang melakonkan semula watak Tun Abdul Ghaffar Baba iaitu Pengerusi Jawatankuasa Sambutan pada ketika itu dan diikuti ucapan Ketua Menteri sebagai Datuk Panglima Bukit Gantang.
Perdana Menteri yang melakonkan watak Tunku Abdul Rahman kemudiannya menyampaikan amanat kemerdekaan dan menandatangani Watikah Kemerdekaan, diikuti penyerahan ‘Keris Sapukal’ serta laungan merdeka.
PM Anwar kemudiannya menyampaikan ucapan khas sempena majlis berkenaan.
Selepas itu, majlis diteruskan dengan Malam Aneka Warna Persembahan Teater Muzikal bertajuk ‘Di Atas Runtuhan Kota Melaka Kita Dirikan Negara Baru’.
Teater tersebut berkisarkan peristiwa Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu di Melaka.
Turut hadir menyerikan majlis ialah Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.