Tawar 7,368 unit kediaman pada Ekspo RMM 2024
BANDARAYA MELAKA 16 Februari – Sebanyak 7,368 unit kediaman ditawarkan sepanjang tiga hari berlangsungnya Ekspo Rumah Mampu Milik (RMM) Melaka 2024 yang membuka tirainya hari ini.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, siri pertama ekspo berkenaan bagi 2024 menawarkan kediaman di lokasi strategik serta bandar utama sekitar Melaka dengan nilai jualan keseluruhan RM1.504 bilion.
Rais berkata, antara kediaman ditawarkan adalah jenis kos rendah, kos sederhana dan paling istimewa rumah mampu milik untuk golongan belia.
“Penganjuran kali ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pemaju perumahan, institusi perbankan dan agensi kerajaan. Turut serta adalah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Jabatan Perumahan Negara (JPN).
“Kita sasarkan 50 peratus daripada keseluruhan 7,368 unit kediaman ditawarkan sepanjang ekspo tiga hari ini dapat dijual,” katanya pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyempurnakan Majlis Perasmian Ekspo RMM Melaka 2024 di Pusat Beli-Belah Aeon Bandaraya Melaka, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Datuk TPr. Murad Husin dan Pengerusi SPNB Datuk Husam Musa.
Menurut Rais, penganjuran ekspo selama tiga hari itu membabitkan 17 pemaju perumahan swasta, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan enam agensi kerajaan negeri.
“Uniknya di Negeri Melaka ini kita bukan sahaja menyediakan rumah buat golongan B40 dan M40 tetapi turut membuka peluang kepada golongan belia untuk memiliki kediaman sendiri.
“Selain pelbagai kediaman, sepanjang ekspo ini kita turut tawarkan diskaun, rebat untuk kos guaman dan duti setem yang membabitkan faedah berjumlah RM30,000 bagi setiap rumah belia,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.