Abang TNB terima penghargaan bomba
BUKIT KATIL 16 Februari – Tindakan pantas tiga pembaca meter Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang membantu memadamkan kebakaran lebih awal mengelakkan penghuni kediaman di Taman Taman Malim Jaya, daripada menanggung kerugian lebih besar.
Khairil Izwan Atan, 33, berkata, terdahulu dalam kejadian 11 Januari lalu dia bersama dua lagi sahabat iaitu Saiful Baharim Ali, 32, dan Muhammad Firdaus Anuar, 26, sedang melakukan kerja membaca meter dikejutkan dengan kebakaran kecil berlaku di salah sebuah kediaman terbabit.
Menceritakan detik cemas itu Khairil Izwan berkata, mereka bertiga kemudian bergegas ke kediaman terbabit bagi membantu memadamkan api yang ketika itu sedang marak.
“Belum sempat matikan enjin motosikal kami terus cari apa ada di sekitar yang boleh digunakan untuk padam kebakaran, mujur terfikir untuk guna air paip selain buka semua pintu dan tingkap untuk kawal api.
“Alhamdulillah bukan sahaja berjaya elak api daripada merebak ke kediaman bersebelahan malah usaha kami menyelamatkan sebuah kereta daripada rentung,” katanya yang ditemui selepas menerima sijil penghargaan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka di Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Sijil penghargaan kepada tiga kakitangan TNB itu disampaikan oleh Timbalan Pengarah JBPM Melaka, R. Iswandy R. Hassan.
Sementara itu, Muhammad Firdaus berkata, apa yang mereka lakukan adalah atas rasa tanggungjawab dan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan.
“Rasa bangga kerana dapat bantu orang lain. Terima kasih kepada JBPM Melaka atas penghargaan ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.