Sorting by

×

Gunung Melaka bukan ‘biasa-biasa’

Masa Membaca:2 Minit, 46 Saat

ASAHAN 15 Februari – “Setiap gunung ada cabarannya tersendiri, pertuturan perlu dijaga selain kita tidak boleh bercakap besar walaupun sering turun naik gunung,” itu kata malim Gunung Melaka, Mahathir Ibrahim.

Mahathir, 47, berkata, sejak Gunung Melaka atau sebelum ini dikenali sebagai Bukit Gapis menjadi destinasi pendakian, dia mula bertugas sebagai malim dan mengiringi orang persendirian mahupun berkumpulan untuk mendaki ke puncak berketinggian 489 meter itu.

Katanya, meskipun ramai yang melihat tugas malim seakan mudah iaitu mengiringi dan mengetuai pendakian namun sebenarnya ia lebih daripada itu.

Ini kerana menurutnya, malim-malim yang bertugas terpaksa memikul tanggungjawab besar dalam memastikan keselamatan pendaki sepanjang pendakian sehinggalah tiba ke puncak dan turun semula.

“Disebabkan minat dengan aktiviti lasak saya tawarkan diri bertugas sebagai malim Gunung Melaka ini malah trek di sini juga saya bersama rakan yang lain buat jadi ini antara usaha kami untuk menaikkan nama kampung halaman sendiri.

“Ada yang beranggapan ini mungkin tugas senang tetapi sebagai malim persiapan rapi perlu dibuat sebelum kami membawa pendaki naik terutamanya mereka yang baru menceburkan diri.

“Selain perlu membawa peti pertolongan cemas, di dalam beg kami turut ada kabel pengikat walaupun ada yang fikir ia tiada fungsi tetapi itulah penyelamat kepada pendaki sekiranya kasut dipakai mereka tercabut tapak atau koyak,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di Gunung Melaka.

Photo1707806846
MAHATHIR menunjukkan peta trek pendakian Bukit Gapis @ Gunung Melaka yang terletak di Nyalas, Asahan. Foto Iqmal Haqim Rosman

Anak kelahiran Nyalas itu berkata, berbekalkan kursus Malim Gunung Perhutanan (MGP) bimbingan Jabatan Perhutanan, segala ilmu itu digunakan sebaik mungkin ketika melaksanakan tugas sebagai malim.

“Apabila diberikan tanggungjawab kita perlu laksanakan sebaiknya, jadi dengan segala ilmu dan apa dipelajari kita akan gunakan dalam memastikan keselamatan pendaki.

“Tidak dinafikan kebanyakan mereka ini adalah ‘kaki hiking’ dan sudah takluk bermacam gunung namun begitu tanggungjawab kami keatas mereka tetap sama,” katanya.

Menurut Mahathir, empat tahun bergelar malim sudah pasti berbagai pengalaman dilalui ketika membawa pendaki ke puncak Gunung Melaka termasuklah pengalaman ‘lucu’ ketika ditanya sama ada terdapat tandas di atas puncak gunung.

“Situasi melihat pendaki berdepan penat, ‘pewai’ itu sudah biasa cuma pengalaman detik cemas seperti sesak nafas mujur belum lagi tetapi kami sebagai malim sentiasa bersedia sekiranya berlaku hal tidak diingini.

“Malah akan saya ingat adalah kegigihan seorang pendaki yang tidak berputus asa untuk sampai ke puncak meskipun terpaksa mengambil masa tiga jam dan terpaksa berhenti rehat banyak kali tetapi dia nekad juga dan akhirnya kami tiba di puncak dengan selamat.

“Cuma pentingnya untuk naik ke atas ini, kita tidak boleh bercakap besar kerana saya pernah berdepan dengan individu yang bercakap besar kononnya Gunung Melaka ini senang ditawan tetapi akhirnya individu itu kecundang,” katanya.

Photo1707812821
MAHATHIR

Jelasnya, setiap pendaki yang ingin mendaki Gunung Melaka diwajibkan memohon permit sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum pendakian.

“Kita amat peka dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang cuba naik tanpa permit, tindakan ini adalah satu kesalahan dan boleh didenda. Untuk pengetahuan juga kita mempunyai hampir 20 orang malim gunung di sini.

“Mereka yang ingin mendaki Gunung Melaka boleh berhubung dengan pihaknya untuk pakej termasuk insurans dan makanan berharga RM35,” katanya.

Tambahnya, berbanding dulu kini Gunung Melaka mula menjadi perhatian sehingga berjaya menarik minat pendaki luar negara seperti Thailand, Indonesia dan Singapura.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

8048
Kongsi :
Previous post Magis gesekan biola Martin Looi
Next post 8,600 anak asnaf Melaka terima bantuan sekolah
Ubah saiz-+=