Sorting by

×

PM umum RM35 juta untuk Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

AYER KEROH 9 Februari – Melaka menerima peruntukan tambahan berjumlah RM35 juta seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Perdana Menteri, peruntukan tambahan 2024 itu adalah membabitkan dua perkara iaitu warisan Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Anwar berkata, ia merupakan antara perkara yang dibincangkan hasil taklimat bersama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Seri Negeri.

“Umpamanya peruntukan warisan tapak UNESCO yang ada kaitan dengan keperluan Melaka sebagai sebagai warisan sejarah penting, selain tarikan pelancongan terunggul yang mempunyai hubungan istimewa dengan China. Maka, saya bersetuju memberi keutamaan untuk Negeri Melaka berjumlah RM25 juta.

“Selain itu, Melaka juga menunjukkan keupayaan TVET dan saya mencadangkan agar hubungan TVET ini dengan pihak industri dipertingkat. Ini bagi memastikan anak-anak yang belajar dalam bidang ini bukan sahaja mendapat pekerjaan, bahkan memperoleh kadar upah yang lebih tinggi iaitu mencapai RM3,500 hingga RM5,000 sebulan.

“Jadi, untuk maksud ini, saya meluluskan peruntukan khas RM10 juta untuk Negeri Melaka bagi mempergiat sinergi di antara institusi TVET dengan pihak industri,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan YAB Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri Melaka, yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Datuk Seri Mohd Zuki Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari.

Yang turut hadir, Barisan Timbalan Menteri, Barisan Exco Kerajaan Negeri; Barisan Ketua Setiausaha Kementerian, Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Barisan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun); Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara.

Pada ucapannya, Perdana Menteri berkata, beliau tidak pernah memandang enteng Negeri Melaka meskipun dikategorikan sebagai sebuah negeri yang kecil.

Sebaliknya, menurut beliau, Melaka menjadi satu-satunya negeri yang dilawati dengan sepenuh kekuatan daripada Kerajaan Persekutuan bagi menilai dan meneliti keperluan negeri ini dalam agenda pembangunan.

“Potensi Melaka cukup hebat. Tahniah kepada Ketua Menteri yang mengambil pendekatan berani dan agresif dalam membawa negeri ini ke satu tahap lebih tinggi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1254
Kongsi :
Previous post Tingkat jumlah perjawatan awam Melaka
Next post Melaka fokus kepimpinan digital
Ubah saiz-+=