Polis buru empat lelaki rompak kedai emas
PUTRAJAYA, 7 Februari – Polis sedang mengesan empat lelaki disyaki terlibat dalam rompakan sebuah kedai emas di pasar raya KIP Mall di Kota Warisan, Sepang, semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata kejadian samun berkumpulan menggunakan sejata api itu berlaku pada 8.14 malam tadi.
Beliau berkata empat suspek itu yang tidak diketahui bangsa dan warganegara mereka menaiki kereta dan meletakkan kenderaan itu di bahagian belakang pasar raya terbabit, sebelum masuk melalui sebuah kedai makanan segera di bahagian tengah bangunan itu.
“Tiada sebarang tembakan dilepaskan suspek dalam kejadian ini. Barang yang disamun membabitkan rantai leher dan tangan pelbagai saiz dan berat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Wan Kamarul Azran berkata tiga suspek memasuki pasar raya berkenaan pada 8.14 malam dan keluar semula pada 8.16 malam.
“Mereka keluar melalui laluan lain di pintu belakang dan terus menaiki kereta yang mana salah seorang suspek telah siap sedia menunggu di dalam kereta,” katanya.
Beliau berkata anggaran kerugian belum diketahui dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi balai polis berdekatan atau pegawai penyiasat ASP Boby Tamat di talian 013-5557858, katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.