Kes polis langgar mati pelajar disebut semula 21 Mac
IPOH, 7 Februari – Mahkamah Majisret di sini hari ini menetapkan 21 Mac ini bagi sebutan semula kes seorang pegawai kanan polis yang didakwa membunuh seorang pelajar sekolah menengah, Disember lepas.
Majistret S. Punitha membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz memohon tarikh baharu sementara melengkapkan dokumen.
Terdahulu, Mohd Nazri Abdul Razak, 44, yang berpakaian jaket hitam menutup kepala dan memakai pelitup muka tiba di mahkamah dengan diiringi oleh pihak polis pada kira-kira pukul 9 pagi.
Tertuduh diwakili peguam Jacky Loi Yap Loong dan Lim Chi Chau manakala peguam pemerhati Datuk Wan Azmir Wan Majid mewakili keluarga mangsa.
Wan Azmir ketika ditemui di luar mahkamah berkata pihaknya menunggu dokumen Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah (CPC) dilengkapkan pihak pendakwaan sebelum perbicaraan boleh dimulakan di Mahkamah Tinggi.
“Dokumen itu antaranya merangkumi maklumat pertuduhan, laporan forensik, keterangan dan video yang mana pihak pendakwa akan membuktikan dalam kes ini dan salinan akan diserahkan kepada pihak pembelaan,” katanya.
Pada 18 Dis lepas, Mohd Nazri yang berpangkat DSP didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati di sini, antara 12.05 tengah hari hingga 12.40 tengah hari, 15 Dis.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.
Pada akhir tahun lepas, tular di media sosial seorang pelajar lelaki maut selepas motosikal yang dinaiki, dilanggar dan diseret oleh sebuah kereta di Jalan Taman Jati berhampiran SMK Jati di Meru, Ipoh dipercayai dipandu seorang pegawai kanan polis.
Kemalangan itu menyebabkan Muhammad Zaharif meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian dada dan abdomen manakala pegawai kanan polis berkenaan ditahan bagi membantu siasatan.
Sementara itu, bapa saudara mangsa Abdul Razak Judin, 49, ketika ditemui pemberita di pekarangan mahkamah berkata mereka (keluarga) reda akan pemergian Muhammad Zaharif namun masih tidak dapat menerima perbuatan pelaku terhadap remaja itu.
“Pihak keluarga akan lawan dalam kes ini sampai mendapat keadilan untuk arwah,” katanya.
Pasukan polis turut dilihat berkawal di pekarangan mahkamah yang dipenuhi pengamal media dan keluarga serta sahabat mangsa.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.