Masyarakat India Asahan seronok ‘kongsi’ budaya
ASAHAN 5 Februari – Seramai 250 masyarakat India dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan diraikan pada Sambutan Pesta Ponggal di Dataran Asahan, di sini, semalam.
Sambutan pesta itu merupakan sebahagian tradisi masyarakat India di kawasan itu untuk berkongsi tentang keunikan perayaan tersebut kepada rakyat berbilang kaum di negeri ini.
Menurut seorang penduduk, D.R. Anjalaidevi, 54, perayaan itu merupakan salah satu acara bagi mendapatkan keberkatan dalam kehidupan setiap kali memasuki tahun baharu.
“Saya dan keluarga memang setiap tahun akan sertai acara begini, Ponggal ini seperti tahun baharu bagi kaum India.
“Kita perlu masak susu sampai melimpah keluar daripada periuk belanga tanah liat untuk mendapat keberkatan atau rezeki di tahun baharu.
“Jadi bila ada acara begini sudah tentu ia menggalakkan lagi kaum India untuk menyertainya kerana kita mahu keunikan ini turut dikongsi bersama masyarakat berbilang kaum,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Bagi M.Logeswaran, 30, pula walaupun baru pertama kali menyertai acara tersebut, namun ia disifatkan sangat seronok dan meriah.
“Sebelum ini saya hanya raikan di rumah, tetapi kali ini saya ikut ibu dan ayah untuk sertai acaranya sekali.
“Seronok dapat lihat ramai orang, pelbagai kaum yang hadir seperti Cina dan Melayu yang menunjukkan permuafakatan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.