60,000 berkunjung ke Muzium Melaka sepanjang Januari
TELOK MAS 5 Februari – Muzium-muzium di negeri ini merekodkan jumlah kedatangan pengunjung luar biasa apabila menerima kehadiran 60,000 orang sepanjang Januari tahun ini.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, jumlah itu meningkat dua kali ganda berbanding 30,000 pengunjung pada tempoh sama tahun lalu.
Justeru, pihaknya menjangkakan jumlah itu akan terus meningkat pada bulan ini (Februari) lebih-lebih lagi ketika musim cuti penggal persekolahan.
“Kemasukan pengunjung ke muzium ini akan meningkat pada bulan ini kerana terdapat tawaran masuk percuma di 21 buah muzium di negeri ini sempena cuti umum Hari Pengisytiharan Kemerdekaan pada 20 Februari ini.
“Malah sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), Februari merupakan bulan bertemakan sejarah, jadi sudah pasti lmuzium-muzium ini akan mempunyai tarikan tersendiri untuk menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong.
“Saya yakin sasaran kita untuk mancapai 15 hingga 18 juta pelancong sempena TMM2024 akan dicapai dengan pelbagai penganjuran program-program yang mempunyai pelbagai tema sepanjang tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program SWM Kasih Misi Sampul Merah diadakan di Japerun Telok Mas, di sini, semalam.
Hadir sama, Eksekutif Operasi SWM Environment Melaka, Muhammad Nazrul Zulkefli; Setiausaha UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Akramuddin Abd Aziz serta tetamu lain.
Menerusi program itu, seramai 30 masyarakat kaum Tionghoa di Telok Mas telah menerima sumbangan berupa wang tunai dan kit makanan disampaikan Abdul Razak.
Dalam pada itu, Abdul Razak berkata, sepanjang Februari, pelbagai acara pelancongan menarik bertemakan sejarah dan muzium akan diadakan.
Ia jelasnya, bagi menyuntik rasa cintakan negara selain menggalakkan orang ramai mempelajari sesuatu daripada sejarah negara.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.