Penduduk Kampung Permai hasilkan tanglung guna bahan kitar semula
MACHAP JAYA 5 Februari – Sambutan Tahun Baharu Cina di Kampung Permai Machap Umboo, di sini, cukup meriah apabila disinari cahaya lampu warna-warni dan pelbagai hiasan tanglung.
Tidak ketinggalan hiasan replika naga turut menjadi penyeri dan simbolik kepada tahun naga yang diraikan masyarakat Tionghoa.
Menariknya, di sebalik keindahan itu, penduduk kampung telah mengambil pendekatan mesra alam dengan menggunakan barangan terpakai seperti botol minyak masak dan tin minuman untuk dijadikan hiasan tanglung.
Hasil kreativiti itu, kawasan sekitar Dewan Besar Kampung Permai, Machap Umboo, menjadi tumpuan bukan sahaja penduduk tempatan malah pengunjung dan pelancong luar untuk merasai kemeriahan suasana sambutan Tahun Baru Cina serta bergambar.
Penasihat Projek Hiasan Tanglung Kampung Permai Machap Umboo, Datuk Yap Yeong Leong berkata, hiasan tanglung pada tahun ini agak istimewa apabila tampil kelainan dengan menggunakan barangan terpakai.
Katanya, idea itu tercetus hasil perbincangan yang dilakukan bersama penduduk yang terlibat dan hasilnya hiasan tanglung pada tahun ini kelihatan berlainan berbanding tahun sebelumnya.
“Bagi memastikan apa yang dirancang berjaya, kami ke restoran dan kedai makan sekitar Machap Umboo untuk mengumpul botol minyak masak, tin dan botol minuman. Barangan ini kemudian dibentukkan menjadi tanglung.
“Dianggarkan lebih 2,000 barangan terpakai digunakan untuk menghasilkan hiasan tanglung ini. Selain tanglung kita turut menghias replika lima ekor naga,” katanya.
Menurutnya, pada tahun ini turut ditampilkan kelainan apabila pihaknya menyediakan hadiah kepada pengunjung bertuah yang melawat setiap kawasan yang dihiasi.
“Kali ini kita sedia 10 ‘check point’ di sekitar kawasan hiasan, jadi apabila pengunjung melawati kesemuanya mereka berpeluang untuk dipilih sebagai pemenang pada sambutan Chap Goh Mei.
“Meskipun kerja-kerja hiasan ini mengambil masa dan memerlukan tenaga namun ia memberikan kepuasan apabila melihat orang ramai datang serta meluahkan rasa gembira,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.