Sorting by

×

Hobi jadi rezeki tauke ayam baka

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

DURIAN TUNGGAL 1 Februari – Kerap dipandang serong dan tidak gah seperti unggas lain Muhammad Ghazali Amirudin kini mampu tersenyum lebar apabila penternakan baka ayam laga diceburi sekadar suka-suka itu kini menjana pendapatan lumayan.

Pemuda berusia 33 tahun ini berkata, dia tidak ambil kisah dengan pandangan orang lain kerana apa yang dilakukan menggembirakan hatinya.

Baginya penampilan ayam laga yang kelihagatan gagah, besar, bulu yang cantik dan manja menyebabkan dia jatuh cinta terhadap unggas itu.

“Hanya jauhari yang mengenal manikam, itulah saya dan peminat lain yang membela ayam laga kerana keunikannya, semua ini memberikan satu kepuasan kepada kami.

“Semuanya bermula pada 2009 apabila saya membela sepasang ayam laga sebelum unggas ini terus membiak,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Panchor, di sini, baru-baru ini.

Photo1706698558
AYAM laga bernama ‘Tenggo’ dibela Muhammad Ghazali. Foto MR AZLI

Katanya, melihat kepada potensi dan permintaan terhadap ayam laga yang tinggi, dia kemudian merancang untuk beralih daripada sekadar hobi kepada satu bentuk perniagaan ayam baka.

Muhammad Ghazali memberitahu, meskipun sedar risiko dalam perniagaan dia meneruskan perancangannya dan pada 2016 stok ayam laga miliknya mencecah 200 ekor.

“Harga bagi seekor ayam laga boleh mencecah puluhan ribu ringgit terutama kalau baka terpilih seperti Pama dan Pakhoi. Sebelum ini saya jual ayam kesayangan pada harga RM2,300 seekor kepada pelanggan.

“Bagi mendapatkan baka dengan bulu yang cantik dan karektar menarik saya juga pernah import ayam laga dari Thailand, Vietnam, Pakistan, India dan Brazil.

“Biasanya kos penghantaran dari negara berkenaan boleh mencecah hingga RM1,000, tetapi sebab mahu dapatkan baka yang baik saya sanggup melabur,” katanya.

Photo1706699420
BAKA anak ayam laga. Foto MR AZLI

Hasil daripada keuntungan diperoleh digunakan Muhammad Ghazali untuk menyelenggara dan menyediakan reban yang lebih selesa untuk ayam laga yang dibela.

“Berat seekor ayam laga baka pama boleh mencecah hingga tiga kilogram (kg), baka pakhoi mencecah 3.5 kg dan baka ‘aseel parrot beak’ 6 kg,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1163
Kongsi :
Previous post Kenyataan rasmi Lembaga Pengampunan dijangka minggu ini
Next post Kompleks Air Panas Gadek dijangka beroperasi selepas Aidilfitri
Ubah saiz-+=