Ops TBC pantau tahap keselamatan makanan
AYER KEROH 31 Januari – Tiada label pada pembungkusan dan makanan sudah tamat tarikh luput antara kesalahan dikesan penguatkuasa Jabatan Kesihatan dalam Operasi Tahun Baru Cina (Ops TBC) di sebuah pasaraya, di Batu Berendam, hari ini.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, operasi dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) menerusi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan bagi memeriksa keselamatan makanan yang turut meliputi kualiti dan kebersihan premis.
Jelasnya, operasi bermula 22 Januari lalu diteruskan sehingga 5 Februari ini dengan memfokuskan kepada pasar raya, pasar mini dan kedai runcit seluruh Negeri Melaka.
“Pada pemeriksaan hari ini kita berjaya mengesan beberapa kesalahan di pasaraya yang diperiksa antaranya tiada label pada makanan sejuk beku, plastik pembungkus makanan berlubang dan telur rosak yang dibiarkan di rak jualan.
“Ada antara makanan ini tarikh luputnya pada 2021 namun masih diletakkan di rak jualan. Justeru pihak pengurusan pasaraya atau pemilik premis diharap menambah baik mutu perkhidmatan selain sentiasa peka dengan tahap keselamatan produk makanan yang dijual kepada pengguna,” katanya pada sidang media selepas menyertai Ops TBC bersama-sama Pengarah JKNM Datuk Dr. Rusdi Abd Rahman.
Hee Sem yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya berkata, sehingga 31 Januari, sebanyak 906 produk makanan disita mengikut Seksyen 4(1)(f), Akta Makanan 1983 menerusi Ops TBC dijalankan.
“Kami juga mengesan pelbagai lagi kesalahan termasuklah tin makanan kemek, berkarat dan kembung untuk itu sehingga Rabu terdapat 906 produk dianggarkan bernilai RM5,228.82 dialihkan daripada rak pameran jualan untuk di sita.
“Selain itu juga sebanyak 21 kompaun bernilai RM34,000 turut dikeluarkan mengikut Peraturan-Peraturan Makanan 1985 kepada premis yang terbabit dan sekiranya gagal menjelaskan kompaun dalam tempoh diberikan tindakan pendakwaan akan diambil,” katanya.
Jelasnya, sepanjang tahun lalu juga menerusi operasi yang dijalankan JKNM berjaya mengeluarkan sebanyak 47 kompaun yang bernilai RM111, 600.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.