Aplikasi Zoom jadi pengubat rindu

Masa Membaca:2 Minit, 46 Saat

GADEK 14 Nov. – Dua tahun berkabung tidak menyambut perayaan Deepavali akibat pemergian kedua mendiang datuknya, ditambah pula tahun ini dicucuk penangan pandemik COVID-19 membuatkan rindu akan sanak-saudari itu semakin menggunung.

Manakan tidak, bagi K. Shreeya Reshmi, 14, keluarganya telah berkabung akibat kehilangan datuk di kedua belah ibu dan bapanya berselang tahun sejak 2017.

Perkara itu membuatkan keluarganya hampir tiga tahun tidak bersama keluarga jauhnya dalam meraikan perayaan itu akibat berkabung membuatkan rindu itu tidak berkesudahan.

Bagi mengubat rindu itu, platform atas talian menjadi penghubung antara keluarganya yang lain dan merancang akan melaksanakan panggilan video menggunakan aplikasi Zoom bagi menyambut perayaan itu biarpun jarak memisahkan mereka.

K. Shreeya Reshmi

Ujarnya, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) membataskan perjalanan saudara-maranya untuk pulang ke kampung halaman bagi meraikan perayaan Hari Deepavali.

“Di Melaka, hanya tiga keluarga saudara saja yang menetap di negeri ini dan selebihnya daripada sembilan buah keluarga lain menetap di Selangor, Kuala Lumpur dan beberapa negeri lain menjadikan mereka tidak dapat pulang ke kampung.

“Saya bersama ayah merancang untuk melakukan panggilan video tersebut pada malam ini bagi mengubat rindu di hati terutama nenek yang begitu sebak dengan keadaan yang berlaku pada hari ini.

“Tahun ini memang pengalaman yang tidak akan dilupakan kerana kebiasaannya saya sentiasa bersama sepupu dan saudara lain untuk sembahyang dan makan bersama pada hari seperti ini.

“Kebiasaannya, waktu pagi akan riuh rendah dengan saudara mara di meja makan utama namun hari ini ada kerusi yang kosong, bila sembahyang di rumah ada ruangan juga yang kosong menjadikan keadaan itu memilukan kami sekeluarga.

“Malah, pada malam sebelum raya juga keadaan sama akan dihadapi dalam rumah bagaimanapun malam tadi keadaan berubah dan begitu sunyi sepi membuatkan kami berasa sedih dan pilu dengan situasi yang berlaku.

“Apa pun kami bersyukur dan menyambut dengan penuh sederhana pada tahun ini dan berdoa agar penyakit ini dapat dihapuskan pada masa akan datang supaya seluruh rakyat di negara ini hidup dalam keadaan sihat dan sejahtera.,”katanya kepada Melaka Hari Ini.

Pada masa sama, S. Ragunathan, 49, berkata, perayaan yang disambut pada tahun ini agak janggal baginya dan pertama kali berlaku sepanjang kehidupannya.

S. Ragunathan

Menurutnya, dia tetap bersyukur dengan apa yang berlaku dan percaya sambutan itu akan diraikan lebih bermakna pada masa akan datang.

“Biarpun penuh sederhana kami tetap bersyukur kerana kerajaan telah membenarkan kami mengunjungi kuil bagi melakukan upacara sembahyang sebagai sambutan utama dalam perayaan ini.

“Penetapan seramai 30 individu dibenarkan dalam sesebuah kuil itu begitu memadai dan berterima kasih kepada kerajaan atas kelonggaran yang diberikan kepada penganut Hindu seperti kami bagi merayakan Pesta Cahaya ini.

“Hal ini, pada awalnya saya fikirkan kerajaan tidak membenarkan untuk ke kuil pada Hari Deepavali namun sebaliknya kami diberi kebenaran dan merasakan begitu bersyukur dengan perintah ini.

“Saya difahamkan rakan-rakan saya yang berbangsa Melayu meraikan perayaan Hari Raya Aidilfitri pun hanya sembahyang di rumah ketika itu dan hari ini pada perayaan ini kami dibenarkan untuk ke Kuil dan itu pun saya sudah cukup berterima kasih,”katanya.

Tambah Ragunathan, seluruh masyarakat India sedia maklum dengan syarat yang diberikan dan perlu bertolak ansur demi mencegah penularan penyakit terbabit.

“Kita perlu ikut norma baharu yang telah ditetapkan seperti menjaga penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka serta pelbagai lagi, biarpun kita meraikan perayaan ini, namun perlu beringatlah,”katanya.

Views:

540
Kongsi :
Previous post Deepavali disambut secara sederhana
Next post SOP baharu MKN ‘bantu’ pelancongan Melaka
Ubah saiz-+=