Melaka tubuh Jawatankuasa Khas Jenayah Siber
AYER KEROH 30 Januari – Kerajaan Negeri akan menubuhkan Jawatankuasa Khas Jenayah Siber bagi membanteras dan mencegah isu jenayah digital yang dilaporkan semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, jawatankuasa khas itu merupakan gabungan antara agensi penguatkuasaan bersama beberapa agensi Kerajaan Negeri lain yang terlibat.
Beliau memaklumkan Jabatan Penerangan Negeri Melaka akan terlibat selaku penyelaras jawatankuasa atau ‘head of program’ untuk memberi kesedaran kepada kumpulan sasaran.
“Menurut laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri pada tahun lalu, Melaka merekodkan sebanyak 1,571 kes secara keseluruhan bagi jenayah siber.
“Malah, menurut laporan, kerugian akibat jenayah siber yang direkodkan di negeri ini pada tahun lalu membabitkan nilai keseluruhan RM40.5 juta.
“Turut dilaporkan sebanyak 702 tangkapan terhadap jenayah siber telah dilakukan menerusi 600 jumlah pertuduhan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Cakna dengan masalah itu yang kian berleluasa itu, Fairul Nizam menyeru masyarakat agar sentiasa berwaspada ketika melakukan sesuatu transaksi atau pembelian dalam talian.
“Kita harap orang ramai yang terkena atau berasa tertipu untuk terus menghubungi Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997.
“Jawatankuasa khas yang ditubuhkan ini akan sentiasa bergerak secara dalam talian untuk memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap penipuan siber,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.