‘Abang rambut perang’ terkesima terima motosikal di KLIA
Walaupun sudah mengetahui bakal menerima motosikal jenama Modenas itu selepas dihubungi petugas syarikat tersebut ketika di Doha lagi, Derrick sama sekali tidak menyangka kejutan tersebut yang turut diatur sebuah stesen radio swasta berlaku sebaik dia melangkah keluar dari Balai Ketibaan Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.
“Saya sangat terharu dan tak sangka dengan kejutan ini hingga mereka sanggup hantar motosikal ke KLIA,” katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, penyokong berusia 30 tahun yang mendapat julukan ‘abang rambut perang’ daripada netizen, berkata dia berkemungkinan besar akan ‘menolak’ tawaran motosikal itu.
Menurut Derrick buat masa ini dia akan menyimpan dahulu motosikal tersebut sebelum membuat pengumuman lanjut berhubung perancangannya terhadap hadiah itu seawal Rabu ini.
Dalam pada itu, anak kelahiran Bandar Hilir, Melaka itu, masih belum memikirkan sama ada akan ‘terbang’ ke Oman bagi menyaksikan aksi ketiga Harimau Malaya dalam saingan Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang dijadual berlangsung 21 Mac ini.
“Saya difahamkan kos untuk ke Oman mahal, tetapi saya pasti akan menyaksikan pasukan kita dalam perlawanan timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 26 Mac,” katanya.
Derrick menjadi bualan hangat peminat bola sepak tanah air selepas lensa kamera merakam reaksinya menangis kegembiraan sewaktu Malaysia mendahului Korea Selatan, 2-1, menerusi jaringan penalti oleh Arif Aiman Mohd Hanapi, pada minit ke-62.
Aksi terakhir Kumpulan E yang berlangsung penuh dramatik di Stadium Al Janoub itu berakhir dengan keputusan 3-3, Khamis lepas.
Jumaat lepas, Derrick memberitahu Bernama bahawa dia memperoleh RM4,500 hasil jualan motosikal kesayangannya yang diiklankan di Facebook pada Disember lepas.
Kejayaan sensasi mengikat skuad Taegeuk Warriors tidak cukup untuk Harimau Malaya mencatat sejarah mara ke pusingan 16 terbaik pada Piala Asia 2023 selepas tewas dalam dua aksi terdahulu menentang Jordan (0-4) dan Bahrain (0-1), sekali gus menamatkan saingan Kumpulan E di tempat tercorot dengan satu mata.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.