Deepavali paling suram
REMBIA 14 Nov. – Deepavali hari ini adalah yang paling suram bagi satu keluarga di Kampung Pengkalan, di sini selepas rumah pusaka milik ibu mereka musnah dalam kebakaran awal pagi semalam.
Bagaimanapun, ibu mereka yang berusia 97 tahun dan seorang pembantu rumah terselamat kerana ketika kejadian mereka menginap di rumah anak wanita berkenaan di Batu Berendam.
Dalam kejadian jam 3 pagi itu rumah separuh kekal milik wanita warga emas R. Papathi, 97, musnah 80 peratus akibat dijilat api, kira-kira 22 jam sebelum perayaaan Deepavali disambut kaum India di, hari ini.
Bagaimanapun, warga emas terbabit dan seorang pembantu rumah berusia 40-an terselamat kerana ketika kejadian mereka berada di kediaman anak wanita terbabit
di Batu Berendam.
Anaknya, S. Magentran, 56, berkata beberapa hari sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 9 November lalu, beliau mengambil ibunya dan pembantu rumah terbabit untuk tinggal bersama kakaknya di Batu Berendam.
“Kami ingin memastikan ibu dan pembantu rumah tidak tertekan dengan PKPB kerana kami adik-beradik tinggal di luar Daerah Alor Gajah.
“Saya menerima panggilan daripada penduduk Kampung Pengkalan yang memaklumkan mengenai kebakaran itu pada jam 3.30 pagi semalam dan segera ke lokasi kejadian kira-kira sejam selepas itu,” katanya ketika dihubungi di sebuah taman perumahan di Bukit Katil hari ini.
Beliau berkata, hanya linangan air mata mampu menceritakan betapa beliau dan adik-beradiknya yang lain amat sedih menyaksikan 80 peratus daripada rumah tempat mereka dilahirkan dan membesar, sudah musnah dijilat api.
“Deepavali hari ini kami sambut dengan amat sedih dan kami belum memberitahu ibu mengenai kejadian kerana bimbang dia terkejut dengan kejadian itu,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Penolong Penguasa Bomba, Soon We Kiang berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah menerima panggilan pada jam 3.26 pagi semalam dan menghantar satu jentera ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.44 pagi sebelum operasi ditamatkan pada jam 5.59 pagi dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pengkalan, R Ravisalven berkata, pihaknya sedang berusaha mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meringankan beban mangsa kebakaran.
Usaha juga sedang dibuat untuk mendapatkan sumbangan daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Rembia untuk disampaikan kepada mangsa.