Sorting by

×

Jom ‘healing’ di Urban Reforestation@Sungai Putat

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 27 Januari – Urban Reforestation@Sungai Putat bakal menjadi lokasi ‘healing’ baharu dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) selepas kerja-kerja menaik taraf dan penyelenggaraan selesai dilaksanakan.

Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron berkata, kerja menaik taraf kini giat dilaksanakan dijangka siap sepenuhnya pada awal Februari.

Katanya, Urban Reforestation@Sungai Putat yang dahulunya dianggap sebagai kawasan ‘hitam’ dan kerap dikaitakan dengan aktiviti penyalahgunaan dadah selain masalah sosial akan menjalani transformasi serta berwajah baharu.

“Bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), MPHTJ menyediakan sebanyak RM500,000 bagi kerja-kerja naik taraf segala fasiliti yang sedia ada termasuk penambahan siar kaki, penyediaan peralatan bersenam dan dilengkapi pencahayaan yang lebih menarik.

“Lokasi yang mempunyai trek pejalan kaki sejauh satu hingga 1.5 kilometer ini akan dipenuhi dengan limpahan lampu yang lebih terang selepas ini.

“Hal ini berikutan tinjauan kami mendapati lokasi ini sering dijadikan tempat ‘healing’ orang ramai susulan lokasinya bersebelahan Sungai Putat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Sapiah memaklumkan lokasi juga kerap dilimpahi air sungai setiap kali hujan lebat menyebabkan banyak kemudahan yang rosak.

“Selain kerosakan akibat bencana alam seperti banjir, perbuatan vandalisme juga kerap berlaku sehingga menyebabkan fasiliti yang disediakan sepanjang laluan riadah itu rosak.

“Selepas penambahbaikan, kita juga merancang untuk menambah atau memanjangkan lagi laluan pejalan kaki dan sebagainya untuk memberi keselesaan kepada pengunjung,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2063
Kongsi :
Previous post Segelintir NGO manipulasi mangsa penipuan – Bukit Aman
Next post ‘Bank’ pantun Melaka
Ubah saiz-+=