Kesungguhan Harimau Malaya di pentas Piala Asia wajar dipuji

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 26 Januari – Prestasi Harimau Malaya pada kejohanan Piala Asia 2023 yang berlangsung di Doha, Qatar wajar dipuji meskipun gagal ke peringkat seterusnya.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, pengalaman beraksi dalam saingan berprestij dan terbesar Asia itu boleh menjadi pemangkin semangat kepada skuad kebangsaan pada masa akan datang.

Katanya, ia juga boleh menjadi medan untuk skuad kendalian Kim Pan-gon terus meningkatkan mutu permainan terutama menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027.

“Kita tak boleh selindung rasa bangga apabila Malaysia tampil dan bersaing di Piala Asia. Ini sangat membanggakan dan kesungguhan pemain wajar dipuji.

“Di peringkat Kementerian Belia Sukan (KBS) kita akan adakan kerjasama dengan semua persatuan dan pemegang taruh dalam bola sepak ini untuk kita perbaiki dari sudut infrastruktur dan sebagainya.

“Selebihnya saya yakin dengan adanya kerjasama yang lebih baik, tumpuan terhadap kualiti permainan dan strategi serta ‘transform of knowledge’ yang lebih baik antara semua pihak yang terlibat, saya yakin kita dapat lihat dari semasa ke semasa perubahan lebih ketara dalam arena bola sepak negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media tayangan skrin gergasi perlawanan Malaysia menentang Korea Selatan bagi saingan Piala Asia di Dataran Bandaraya MBMB, malam tadi.

Hadir sama, Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka, Mohd Asri Ninggal.

Adam Adli yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya menyifatkan langkah Harimau Malaya yang terhenti di peringkat Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 bukanlah penamat, sebaliknya suatu permulaan baharu untuk negara.

Pada aksi terakhir peringkat kumpulan itu, skuad kebangsaan mencipta kejutan apabila berjaya mengikat pasukan di ranking ke-22 dunia, Korea Selatan dengan keputusan 3-3.

Keputusan itu melayakkan Malaysia berjaya memperbaiki kedudukan ranking FIFA apabila meraih mata tambahan sebanyak +12.30 mata dan naik ke tangga 132 dunia.

Malaysia menamatkan kempen Piala Asia dengan satu mata daripada tiga perlawanan hasil satu seri dan dua tewas iaitu kepada Jordan (0-4) dan Bahrain (0-1).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

681
Kongsi :
Previous post KBS perluas tayangan skrin gergasi acara sukan
Next post Seorang maut, empat dikhuatiri tertimbus tanah runtuh di Cameron Highlands
Ubah saiz-+=