Kawasan rekreasi Semabok Perdana bakal jadi tumpuan

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

DUYONG 25 Januari – Dilengkapi dengan pelbagai fasiliti bagi kemudahan riadah, kolam takungan air di Semabok Perdana, bakal menjadi lokasi tumpuan sebagai kawasan rekreasi selepas Taman Rekreasi Bukit Serindit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, pembangunan di kawasan itu sudah dilaksanakan dan tinggal hanya beberapa aspek yang masih dalam proses untuk ditambah baik.

Jelasnya, selain kemudahan seperti trek joging yang hampir 700 meter, penempatan peniaga juga akan menjadi tarikan kepada penduduk untuk ke kawasan itu beriadah bersama keluarga.

“Kerja naik taraf dan pembinaan taman reakrasi di situ sudah berjalan malah trek joging dan tapak niaga pun sudah siap cuma kita ingin tambah baik tempat untuk ‘remote control’ (RC) bot dan trak sahaja.

“Dengan adanya penjaja di kawasan itu yang akan menawarkan pelbagai jualan ia akan ‘menghidupkan’ lagi tempat itu dan sekaligus menjadi kawasan reakrasi kedua selepas Bukit Serindit,” katanya.

Whatsapp Image 2024 01 24 At 18.10.45 Ae6cb308

Beliau yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, selain mendapat kerjasama daripada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri untuk pembangunan kawasan itu, pihaknya juga menerima peruntukan daripada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Dengan pembangunan yang dibuat saya berharap kawasan rekreasi ini dapat mewujudkan persekitaran yang sihat dalam kalangan warga Duyong selain dapat membantu peniaga kecil menjana pendapatan,” katanya.

Menurut Mohd Noor Helmy, pihaknya juga kini sedang berusaha untuk menyelesaikan kemudahan lain yang dijanjikan kepada rakyat sebelum ini demi keselesaan penduduk Duyong.

“Malah kita turut memfokuskan isu banjir yang kerap kali berlaku di DUN Duyong, walaupun dua tahun kebelakangan ini jumlah penduduk yang terkesan itu sudah berkurangan tetapi fokus tetap diberikan untuk selesaikan perkara ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1335
Kongsi :
Previous post Remaja maut digilis pacuan empat roda
Next post Anugerah Seri Melaka iktiraf anak jati Melaka berjasa
Ubah saiz-+=