Sorting by

×

Jualan murah di pasar raya terpilih setiap 24 hari bulan

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

MASJID TANAH 23 Januari – Orang ramai kini boleh merancang perbelanjaan dan menikmati pembelian barangan keperluan pada harga lebih murah menerusi penganjuran Program Jualan Ihsan Rahmah (PJIR) Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) di pasar raya terpilih pada setiap 24 hari bulan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif itu dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Kata beliau, tawaran PJIR bukan hanya memberi impak kepada rakyat Melaka, malah manfaatnya turut dinikmati pengunjung dan pelancong luar datang ke Negeri Melaka pada tarikh berkenaan.

“Terima kasih kepada KPDN kerana telah memulakan langkah awal PJIR di Negeri Melaka pada 24 hari bulan setiap bulan.

“Tarikh ini juga signifikan sempena TMM2024 kerana pelbagai tawaran yang kita berikan kepada pengujung dan pelancong yang datang ke Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran PJIR TMM2024 yang turut dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali di sebuah pasar raya, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin dan Timbalan beliau, Tuminah Kadi@Mohd Hasim serta Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basher.

Turut hadir, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Menurut Ketua Menteri, program tersebut melibatkan 11 jenama pasar raya dan ‘hypermarket’ di 58 lokasi premis peruncitan.

“Sebanyak 24 barangan ditawarkan pada diskaun antara 10 hingga 30 peratus meliputi keperluan harian seperti lampin pakai buang bayi, sabun mandi, sabun pencuci pinggan, beras, telur, minyak masak botol dan banyak lagi.

“Jadi saya menjemput semua rakyat datanglah ke pasar raya terpilih ini supaya kita dapat merancakkan lagi TMM2024, sekali gus meningkatkan ekonomi Negeri Melaka dan negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2470
Kongsi :
Previous post Peniaga rugi lebih RM6 juta terpedaya pelaburan emas tidak wujud
Next post Pengarah syarikat direman empat hari bantu siasat kes rasuah penjawat awam – SPRM
Ubah saiz-+=