Tindakan tegas terhadap kontraktor ‘sambil lewa’
AYER KEROH 22 Januari – Tindakan lebih tegas akan dikenakan terhadap kontraktor di negeri ini yang didapati menjalankan kerja penyelenggaraan ‘sambil lewa’ atau tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) sehingga mengancam nyawa pengguna jalan raya.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, pihaknya banyak menerima banyak aduan mengenai kerja turapan tidak berkualiti menyebabkan jalan berlubang hingga menimbulkan ketidakselesaan pengguna.
Katanya, susulan itu pihaknya sudah menjalankan perjumpaan bersama kontraktor bagi membincangkan isu dan permasalahan yang ditimbulkan pelbagai pihak dua minggu lalu.
“Kita sudah panggil semua kontraktor terlibat dengan kerja-kerja penggalian dan memang benar banyak isu jalan-jalan berlubang selepas diturap. Difahamkan ini (penggalian) daripada syarikat air dan ramai menyangka ia membabitkan Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Namun begitu JKR juga perlu bertanggungjawab dalam hal ini. Jadi kita ambil keputusan, tindakan tegas perlu dikenakan terhadap kontraktor yang dikesan melakukan kerja tidak ikut SOP, khususnya membabitkan aspek turapan jalan. Jika tidak bertegas perkara ini memberi kesan kepada masyarakat, lebih serius apabila membabitkan kemalangan,” katanya
Hameed yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau berkata demikian ketika menjawab isu tular di media sosial berhubung jalan rosak berhampiran Pusat Perniagaan Putra Sentosa, Bukit Baru, sehingga mencetuskan kebimbangan pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal.
Jelasnya, jalan yang rosak itu sudah dibetulkan dan akan dipantau dari semasa ke semasa supaya isu sama tidak berulang kerana keselamatan pengguna jalan raya menjadi keutamaan pihaknya.
Mengulas lanjut, Hameed berkata Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) juga diminta untuk turut campur tangan dengan mengambil tindakan terhadap kontraktor dikesan mengulangi kesalahan khususnya menjalankan kerja menurap jalan tidak mengikut spesifikasi.
“Malah kita juga sudah memberikan satu keputusan khas kepada kontraktor yang terbabit dengan panel pengorekan dan penyambungan air,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.