Lokasi baharu tapak ‘premium’ untuk peniaga

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

PAYA RUMPUT 21 Januari – “Saya ingin memohon kepada semua pihak beri masa, ruang dan peluang kepada Kerajaan Negeri untuk melaksanakan yang terbaik buat rakyat negeri ini,” kata Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung pemindahan peniaga Uptown Pahlawan ke lokasi baharu.

Menurut beliau, keputusan Kerajaan Negeri sebelum ini yang ingin memindahkan kira-kira 120 peniaga itu berdepan sedikit masalah apabila tidak dipersetujui namun selepas dua minggu peniaga ini dipindahkan ia menunjukkan reaksi positif.

Jelasnya, selepas dua minggu dipindahkan ke lokasi baharu berhadapan Menara Taming Sari, jumlah pengunjung yang datang semakin bertambah malah ada persatuan peniaga yang melahirkan rasa gembira dengan keadaan itu.

“Tidak dinafikan beberapa bulan yang lalu memang kita mempunyai masalah ingin memindahkan peniaga malah saya sendiri turut membantu menyelesaikan masalah yang timbul tetapi hari ini saya lihat ramai (pengunjung) turun ke sana.

“Ketika ingin memindahkan mereka sebelum ini juga bila adanya isu yang timbul kita sangat berhati-hati tetapi hari ini kita bagi mereka tempat yang lebih ‘premium’ iaitu di hadapan Menara Taming Sari yang menjadi laluan utama pelancong atau pengunjung,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Gelanggang Persilatan Singa Bertujuh, di Tanjung Minyak, hari ini.

Menurut Rais, Kerajaan Negeri Melaka di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, sentiasa mengutamakan rakyat dalam setiap perkara yang ingin dilaksanakan begitu juga dengan pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan.

“Sesungguhnya kami sentiasa menegaskan yang kita tidak ingin menzalimi mana-mana peniaga atau pihak tetapi apa yang dibuat adalah untuk kebaikan rakyat sendiri.

“Memang benar ada kekurangan mungkin tentang isu tempat letak kereta atau kawasan parkir dan beberapa lagi, kita akan atasi dari semasa ke semasa malah Ketua Menteri sendiri saban minggu turun padang untuk  melihat apa yang perlu ditambah baik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1202
Kongsi :
Previous post Peningkatan kos haji disebabkan beberapa faktor – Zulkifli
Next post Lelaki hilang di Empangan Chenderoh ditemukan lemas
Ubah saiz-+=