Pemakaian baju sukan diteruskan bagi sesi persekolahan 2024/2025 – Fadhlina
PUTRAJAYA, 19 Januari – Kelonggaran pemakaian baju sukan ke sekolah diteruskan untuk sesi persekolahan 2024/2025 yang akan bermula Mac ini, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Beliau berkata keputusan itu adalah berdasarkan sesi libat urus yang telah dilaksanakan dengan semua pihak berkaitan termasuk warga pendidik dan ibu bapa.
Fadhlina berkata surat pekeliling dan makluman lanjut mengenai pelanjutan kelonggaran pemakaian sukan itu akan dikeluarkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri untuk diedarkan ke semua sekolah dalam masa terdekat.
“Kementerian Pendidikan memutuskan pakaian sukan di sekolah diteruskan iaitu dua hari pakaian seragam sekolah, dua hari pakaian sukan dan satu hari pakaian kokurikulum,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 KPM di sini hari ini.
Menurutnya, keputusan dibuat bagi meringankan beban ibu bapa serta memudahkan mereka untuk membuat persiapan persekolahan lebih awal.
Dalam sidang media selepas itu, Fadhlina berkata pihak sekolah diberikan kebebasan untuk menetapkan hari bagi pakaian seragam sekolah, sukan dan kokurikulum.
“Autonomi diberikan kepada pihak sekolah untuk tentukan hari pemakaian berkenaan,” katanya.
Pada 10 Ogos tahun lepas, Fadhlina dilaporkan berkata pemakaian baju sukan yang mula diberi kelonggaran pada 3 Mei ketika fenomena cuaca panas, diteruskan walaupun cuaca panas semakin berkurangan.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.