
Melaka negeri pertama angkat ‘darjat’ pemain sepak takraw
BANDARAYA MELAKA 19 Januari – Persatuan Sepak Takraw Melaka (PASTAM) menjadi badan induk pertama melakukan anjakan paradigma dengan menaikkan martabat pemain sepak takraw ke arah profesional.
Yang Dipertua PASTAM Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, jika sebelum ini sepak takraw hanya dikenali sebagai sukan tradisi, namun kini darjat sukan itu akan diangkat sama seperti bola sepak.
Ia selepas pihaknya memperkenalkan perjanjian dan mengikat kontrak bersama pemain selama setahun, yang mana ia merupakan yang kali pertama diperkenalkan di negara ini.
“Sebelum ini, pemain datang dan pergi kerana jika ada pasukan memberi tawaran lebih tingggi mereka akan bermain untuk pasukan tersebut memandangkan tiada perjanjian. Jadi, bila sudah ada perjanjian, pemain akan terikat dengan kontrak dan lebih terjamin.
“Ini merupakan antara cara yang kita lakukan untuk mengangkat sukan sepak takraw ke tahap yang lebih baik dan membawa sukan tradisi ini ke arah profesionalisme.
“Saya yakin, usaha yang dilakukan Melaka ini akan menjadi penggerak dan negeri-negeri lain akan mengikut jejak langkah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Bersama Pemain Melaka yang akan menyertai Kejohanan Sepak Takraw Piala Emas Khir Johari Ke-57 Tahun 2024 di sebuah hotel, di sini, malam tadi.
Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.
Mengulas lanjut, Akramuddin berkata, menerusi perjanjian itu, seramai enam tonggak kebangsaan telah berminat menyertai Melaka selama setahun dan akan beraksi dalam apa jua kejohanan yang berlangsung sepanjang tahun ini.
Jelas beliau, antara syarat yang termaktub di dalam perjanjian itu ialah pemain berkenaan tidak dibenarkan menyertai pasukan lain pada sepanjang tahun, kecuali dengan kebenaran PASTAM.
“Seperti contoh, jika Melaka tidak menyertai kejohanan pada ketika itu, maka kita boleh melepaskan mereka, namun jika Melaka beraksi di kejohanan tersebut, sudah pastilah kita akan menggunapakai khidmat mereka untuk beraksi.
“Saya percaya pemain sudah faham dan akan berpegang kepada perjanjian yang telah ditandatangani,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.