Melaka destinasi pelancongan mesra-Muslim
BANDARAYA MELAKA 17 Januari – Kempen promosi Melaka sebagai destinasi pelancongan mesra-Muslim akan terus diperkasa bagi menarik kehadiran pelancong dalam sub sektor pelancongan agama.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, inisiatif itu penting dalam memperkukuhkan kedudukan Malaysia yang menerima pengiktirafan Cresent Rating-Mastercard Global Muslim Tourism Index (GMTI) 2023 dan Dinar Standard State of Global Islamic Economy (SGIE) 2022.
Menurut Abdul Razak, baru-baru ini, Melaka telah menerima kehadiran imam-imam dari China bersempena program ‘Familirisation Trip’ anjuran Islamic Tourism Centre dan Malaysia Inbound Chinese Association.
Jelasnya, lawatan itu secara tidak langsung membantu dalam mempromosi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
“Program yang bermula 10 hingga 16 Januari lalu melibatkan golongan imam dari beberapa wilayah tertentu di negara China.
“Program ‘Familirisation Trip’ itu berobjektif memperkenalkan dan mendedahkan keunikan Malaysia sebagai destinasi mesra-Muslim dan menarik lebih ramai pelancong seterusnya menjadikan Melaka sebagai destinasi pilihan.
“Antara destinasi yang dilawati sepanjang program ini adalah Bandaraya Melaka, Restoran Chan Mari Chan dan Masjid Kampung Hulu,” katanya pada Melaka Hari Ini.
Kunjungan imam-imam dari China itu turut disambut Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) negeri, Sha’ari Basiron.
Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata, menerusi program tersebut, ia secara tidak langsung memberi gambaran Melaka sebagai antara destinasi terunggul pelancongan mesra-Muslim di dunia.
“Pada masa sama, ia dapat memberi kesedaran terhadap produk-produk dan hospitaliti pelancongan mesra-Muslim di negeri ini khususnya serta acara-acara yang dianjurkan sempena TMM2024,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.