Sorting by

×

Banyak mata tertumpu kepada skuad Harimau Malaya di Qatar

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

DOHA, 15 Jan – Peningkatan prestasi skuad Harimau Malaya di bawah bimbingan pengendali dari Korea Selatan, Kim Pan Gon, telah menarik perhatian banyak pihak antaranya para jurulatih serta presiden persatuan bola sepak di rantau ini.

Perkara itu dikongsikan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, yang turut memaklumkan penampilan Malaysia pada Piala Asia 2023 di sini ditunggu-tunggu susulan kejayaan menumbangkan beberapa pasukan di ranking dunia lebih tinggi sebelum ini.

“Di pihak AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) ataupun presiden (persatuan bola sepak) dan jurulatih, mereka teruja dengan pencapaian kita…mereka mengatakan teruja nak tengok persembahan kita selepas prestasi kita berdepan Kyrgyzstan dan India sebelum ini.

“Ini merupakan satu harapan yang tinggi dan perlu dilihat sebagai satu cabaran untuk kekalkan prestasi ini dalam pertandingan seterusnya. Apa yang penting adalah perlu kekal konsisten,” katanya kepada media Malaysia di sini.

Malaysia menikmati persembahan yang memberangsangkan di bawah Pan Gon apabila berjaya merekodkan tujuh kemenangan termasuk menentang pasukan di ranking dunia lebih tinggi, dua seri dengan pasukan 100 terbaik dunia dan hanya tewas dalam 10 perlawanan kompetitif sepanjang 2023.

Diundi dalam Kumpulan E, Malaysia akan memulakan cabaran menentang Jordan di Stadium Al Janoub di sini, malam ini (16 Jan 1.30 pagi waktu Malaysia) sebelum bertemu Bahrain di Stadium Jassim Bin Hammad (20 Jan) dan menentang juara dua kali Korea Selatan di Stadium Al Janoub pada 25 Jan.

Pasukan negara yang menamatkan penantian 42 tahun untuk layak secara merit ke Piala Asia menyasarkan untuk mencipta sejarah layak ke pusingan 16 terbaik selepas Malaysia terkandas di peringkat kumpulan dalam tiga penampilan sebelum ini.

Ikuti berita dan info terkini tentang PIALA ASIA 2023 menerusi asiancup.bernama.com.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3309
Kongsi :
Previous post Melaka pusat latih pemandu profesional
Next post Kaji maklum balas isu kenaikan tambang bas sekolah
Ubah saiz-+=