Sorting by

×

Tiga lagi pusat rehabilitasi bakal dibina

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

DURIAN TUNGGAL 15 Januari – Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan memperluaskan perkhidmatan rehabilitasi dan pemulihan dengan membina tiga lagi Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Kebangsaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, cadangan bagi pembinaan tiga pusat itu adalah bagi Sabah dan Sarawak serta Semenanjung Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Dalam tempoh 10 tahun ini kita ada tiga pusat rehabilitasi iaitu di Melaka, Ipoh, Perak (sedang dibina) dan Terengganu (akan dibina), saya sudah maklumkan kepada pihak Perkeso tentang keberkesanan serta manfaat diterima para pencarum.

“Jadi dalam tempoh lima tahun akan datang ini saya mahu supaya Perkeso melihat kepada pembinaan tiga lagi pusat rehabilitasi ini termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Ini supaya kita boleh kembangkan lagi perkhidmatan Perkeso bukan sahaja memberikan perlindungan daripada segi pampasan kewangan tetapi satu perlindungan menyeluruh termasuk rehabilitasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak (PRPTAR), di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee sem; Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Zahari Abd Kalil; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee; Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal; Pengarah Perkeso Melaka, Abd Razak Omar dan lain-lain kenamaan.

Tambah beliau, pihaknya juga dalam proses menambah baik PRPTAR termasuk membangunkan pusat neuro modular baharu pada tahun ini.

“Ini juga salah satu idea Ketua Menteri Melaka untuk menambah baik pusat rehabilitasi ini seperti bilik-bilik asrama dan lain-lain.

“Kerajaan Negeri Melaka juga akan bekerjasama dengan Perkeso untuk merealisasikan cadangan itu khusus bagi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

621
Kongsi :
Previous post Sedia ‘outlet’ pasarkan produk pesakit Perkeso
Next post Peniaga maut motosikal dirempuh pacuan empat roda
Ubah saiz-+=