Sorting by

×

Pusat pengumpulan hasil pertanian di Asahan

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

ASAHAN 15 Januari – Sektor pertanian di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan terus diperluaskan apabila kawasan seluas kira-kira 0.4 hektar di Nyalas yang kini menjadi Pusat Keusahawanan diusahakan dengan tanaman tanah tinggi sekali gus bakal menjadi pusat pengumpulan hasil pertanian DUN Asahan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, tanah itu yang sebelum ini terbiar kini diusahakan oleh Persatuan Agro Tani Nyalas dengan beberapa tanaman tanah tinggi termasuk sawi akan diperluaskan fungsinya sebagai pusat pengumpulan hasil pertanian .

“Tanah ini adalah milik Jabatan Pertanian dan dijadikan sebagai Pusat Keusahawanan dan kini ia telah diusahakan oleh dengan tanaman tanah tinggi termasuklah sawi dan juga salad yang mana mereka kini sedang dalam proses untuk memasarkan hasil tanaman ini ke stesen minyak.

“Saya difahamkan ia masih dalam perbincangan dan sekiranya mendapat persetujuan hasil tanaman ini akan diletakkan di stesen minyak untuk dijual. Melihat lokasi ini berpotensi untuk dimajukan lagi saya cadangkan untuk dijadikan tapak ini sebagai pusat pengumpulan hasil pertanian.

“Dengan adanya pusat pengumpulan ini nanti penduduk atau petani termasuk pengusaha tanaman boleh menghantar hasil mereka ke sini sebelum dipasarkan ke kawasan lain dan secara tidak langsung dapat membantu merancakkan lagi ekonomi setempat,” katanya.

Beliau yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, bagi memastikan perancangan itu terlaksana, Jabatan Pertanian Jasin kini sedang mengadakan perbincangan dengan pihak yang terbabit.

“Melihat sektor pertanian ini mempunyai potensi dan mampu menjana pendapatan, kita juga akan cuba bantu pihak persatuan untuk mendapatkan pemilikan tanah agar dapat diperluaskan lagi tanaman,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

931
Kongsi :
Previous post Jabatan Perangkaan buka kaunter mudahkan pendaftaran PADU
Next post Sedia ‘outlet’ pasarkan produk pesakit Perkeso
Ubah saiz-+=