Sorting by

×

Jabatan Perangkaan buka kaunter mudahkan pendaftaran PADU

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

PAYA RUMPUT 15 Januari – Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) akan membuka kaunter fizikal di pejabat kerajaan dan institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memudahkan rakyat mengemaskini dan mendaftar maklumat diri di Pengkalan Data Utama (PADU).

Pengarah DoSM negeri, Abang Saifulhadi Abang Ibrahim berkata, selain mengguna pakai kesemua Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di negeri ini, kaunter fizikal di lokasi tumpuan awam turut dilaksanakan bagi menggalakkan lebih ramai yang tampil mengemaskini dan mendaftar.

“Sebelum ini ‘trend’ pendaftaran agak tinggi antara 5,000 hingga 6,000 sehari tetapi sekarang momentum itu agak perlahan dengan kira-kira 1,000 sahaja sehari.

“Jadi kita ambil insiatif dengan membuka kaunter di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Menara Persekutuan. Selepas ini pula akan ke beberapa IPT dan pejabat kerajaan lain yang menjadi tumpuan ramai.

“Dengan adanya kaunter fizikal ini rakyat bukan sahaja dapat mendaftar sebaliknya mengetahui dengan lebih lanjut berkaitan PADU,” katanya.

Abang Saifulhadi ditemui media selepas menerima kunjungan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin ke kaunter fizikal DoSM di Rumah Seri Kenangan (RSK) Cheng, di sini, semalam.

Menurutnya, usaha dan gerak kerja yang agresif perlu dijalankan bagi memastikan sasaran 600,000 penduduk Melaka selesai mengemaskini dan mendaftar PADU menjelang penghujung Mac mampu dicapai.

“Kita di Melaka ini amat bertuah apabila mendapat kerjasama erat dari Kerajaan Negeri menerusi Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan, malah dengan kebersamaan ini, komunikasi di peringkat komuniti lebih berkesan.

“Pada kesempatan yang ada juga saya turut menyeru agar penduduk untuk bertindak segera dengan mendaftar di PADU.

“Saya juga ingin tegaskan proses mengemaskini dan pendaftaran PADU adalah percuma tiada sebarang caj dikenakan, sekiranya ada yang berhadapan dengan situasi dikenakan bayaran mereka perlu membuat laporan segera,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2660
Kongsi :
Previous post Cipta bahan halau nyamuk, SDARY wakili Melaka ke peringkat kebangsaan
Next post Pusat pengumpulan hasil pertanian di Asahan
Ubah saiz-+=