23 institusi TVET menanti anak Melaka
AYER LIMAU 13 Januari – Sebanyak 23 institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang bertapak di negeri ini menantikan kemasukan anak Melaka khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, peluang itu terbuka kepada mana-mana anak jati negeri ini yang tidak berpeluang melanjutkan pengajian dalam bidang akademik.
“Bagi anak-anak Melaka yang tidak mahu menyambung pengajian dalam bidang akademik, jangan risau kita ada 23 institusi TVET yang menawarkan pelbagai kursus yang akan menjamin masa depan yang cerah buat mereka.
“Dengan peluang pekerjaan yang tersedia ditawarkan pelabur-pelabur yang datang ke Melaka, mereka memerlukan sumber-sumber tenaga daripada anak Melaka yang belajar dalam bidang TVET.
“Hasrat ini sejajar dengan usaha Melaka yang memang menuju ke arah pembentukan kualiti anak-anak yang menjurus kepada bidang TVET dan kita menjamin tenaga kerja ini boleh dibekalkan sebaik mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Motivasi Pecutan Akhir SPM Parlimen Masjid Tanah ddi Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Masjid Tanah, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum serta Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.
Yang turut hadir, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Adun Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Adun Kuala Linggi, Rosli Abdullah serta tetamu lain.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.