Pantun identiti bangsa Melayu
Apa guna si dahan kayu,
Kalau tidak dibuat Lantai;
Apa guna mengaku Melayu,
Kalau berpantun pun tidak pandai.
Lemah lembut sopan dan santun,
Kebaya labuh manik bersulam;
Kalau orang Melaka tak tahu berpantun,
Bagaikan makan tidak berulam.
PENGKALAN BATU 12 Januari – Bunyinya agak pedas, namun pantun diungkapkan Yang Dipertua Persatuan Ketua-Ketua Kampung (Sidang) Negeri Melaka merangkap Tok sidang Kampung Pulau Kelapa Peringgit, Shaari Abu, 62, adalah berunsur nasihat kerana hasratnya mahu melihat seni warisan itu kembali menjadi amalan dan dimasyarakatkan semula.
Berpengalaman selama 20 tahun dalam dunia pantun Shaari berkata, wahana pantun adalah milik masyarakat Melayu yang menggambarkan kata budi, pemandangan yang indah di kampung, laut, pantai dan kerenah manusia.
“Pantun adalah sastera lisan milik bicara Melayu di Nusantara ini, puisi rakyat ini wajar dimasyarakatkan dan dihidupkan kembali kerana ia tersimpul hasrat hati serta kata pujangga yang mematangkan fikiran atau perasaan kita.
“Justeru, saya amat bersetuju apabila Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mengambil inisiatif yang mana setiap kampung di Melaka mempamerkan pantun melambangkan identiti mereka pada pintu gerbang masing-masing.
“Saya harap semua kepimpinan atasan hingga ke peringkat akar umbi Negeri Melaka ini bersama-sama menyokong usaha murni dilaksanakan,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di rumahnya di Kampung Pulau Kelapa, di sini, semalam.
Menurut Shaari, adat berpantun sudah menjadi darah daging dan seni dalam kehidupan masyarakat Melayu sejak zaman dahulu.
“Pantun ini sebagai penyampai maksud tentang hasrat hati kita, sebab itu pantun digunapakai oleh datuk moyang kita, ahli-ahli pemikir dan penggemar pantun di dalam majlis adat, pertunangan atau pernikahan,” katanya.
Mengulas lanjut, Shaari berkata setakat ini terdapat seramai 317 tok sidang bergiat aktif di bawah persatuan berkenaan.
“Persatuan ini ditubuhkan pada 1960 yang mana kesemua sidang di Melaka ini disarankan supaya di dalam jiwa mereka boleh berpantun.
“Tugas seorang sidang bukan hanya menguruskan majlis untuk meminang dan pernikahan, malah perlu seiring dengan Kerajaan Negeri dalam apa sahaja program yang dijalankan di peringkat kampung,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.