Bantu penduduk buat pilihan, jadi pengguna bijak
DUYONG 11 Januari – Pembukaan sebuah pasar raya baharu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong diharap akan memudahkan lagi penduduk khususnya golongan B40 mendapatkan bekalan barangan keperluan harian pada harga patut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, Lotus Mart yang pertama beroperasi di Malaysia di bawah rangkaian syarikat itu juga secara tidak langsung membantu merancakkan lagi ekonomi setempat.
Mohd Noor Helmy yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, usaha membuka pasar raya itu juga sejajar dengan hasrat Kerajaan Madani meringankan beban rakyat kesan akibat kenaikan harga barang menerusi pelbagai inisiatif dijalankan sebelum ini seperti penganjuran Jualan Rahmah.
“Sudah pasti akan berlaku persaingan antara peniaga, tetapi selepas ini 12,000 penduduk dalam DUN Duyong ada lebih banyak pilihan untuk berbelanja.
“Saya yakin perkembangan semasa ini mampu mendidik orang ramai untuk menjadi pengguna yang bijak. Selain itu pembukaan pasar raya ini mewujudkan 25 peluang pekerjaan baharu,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan pembukaan pasar raya itu, di Taman Desa Duyong, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCorp), Datuk Lim Chow Beng dan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Norena Jaafar.
Katanya, pasar raya dengan ruang seluas 1,000 meter persegi itu menawarkan lebih 5,000 barangan keperluan runcit kepada pengguna.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.