Belia aset Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 12 Nov. – Kerajaan Negeri menyanjung tinggi peranan belia di negeri ini dalam mencorakkan masa hadapan Melaka ke arah kegemilangan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, golongan belia sentiasa diletakkan sebagai aset penting negeri yang menentukan hala tuju negeri pada masa akan datang.

“Saya amat berharap golongan belia khususnya di negeri ini akan terus berjaya di luar sana, sekali gus mampu menyahut cabaran membina negara serta memperkukuh idealisme belia Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan penyerahan Anugerah Perdana Belia (ABPN) Peringkat Negeri Melaka bagi tahun 2020 di Pejabat Ketua Menteri, Kompleks Seri Negeri, di sini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa NGO, Pembangunan Belia dan Sukan negeri Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Melaka Noorman Ramlan.

Dalam majlis yang berlangsung secara sederhana itu, seramai 13 belia dari pelbagai pertubuhan diangkat sebagai penerima ABPN 2020 Peringkat Negeri Melaka berdasarkan beberapa kategori yang telah diselaraskan iaitu kategori individu lelaki, wanita dan pertubuhan belia.

Dalam ucapannya, Sulaiman turut merakamkan penghargaan kepada belia yang bertungkus-lumus melakukan kerja-kerja sukarelawan meskipun negara berdepan situasi sukar sepanjang penularan wabak COVID-19.

Beliau turut menzahirkan harapan agar belia negeri ini sentiasa melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti seperti kebajikan, pendidikan, program kepimpinan dan sahsiah serta kemahiran berkomunikasi.

Views:

745
Kongsi :
Previous post PKPB: MIBC jangka pendapatan terjejas sehingga 50 peratus
Next post UTeM terima RM250,000 wang zakat
Ubah saiz-+=