Sorting by

×

JKM selamatkan kanak-kanak dipercayai dieksploitasi

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

BANDA HILIR 7 Januari – Tiga kanak-kanak bawah umur diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri selepas didakwa dieksploitasi untuk menyanyi di kaki lima sehingga berjaya mengutip belasan ribu ringgit sebulan.

Perkara itu terbongkar menerusi Operasi Mengambil Orang Papa, Pengemis, Peleser dan Kanak-Kanak yang dijalankan lebih tiga jam bermula 9 malam tadi.

Pengarah JKM negeri Zulkifli Hanifah berkata, kesemua kanak-kanak itu ditahan pihaknya di kaki lima pusat beli-belah dan pintu masuk bank.

Jelasnya, sepanjang tahun lalu, sebanyak 45 kes dilaporkan dan daripada jumlah itu 30 kes adalah kes berulang membabitkan eksploitasi kanak-kanak oleh penjaga atau ibu bapa.

“Jumlah kutipan yang diperoleh antara RM400 hingga RM600 satu malam dikatakan mendorong ada ibu bapa atau penjaga yang sanggup mengekploitasi anak-anak mereka.

“Hal ini dimaklumkan oleh ibu kepada kanak-kanak yang kita selamatkan itu selain mereka turut jelaskan tindakan anak mereka adalah untuk membantu mencari pendapatan keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas tamat operasi yang turut dihadiri Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin, malam tadi.

71d0bf5c D70e 49bc 8ba9 E4bd5c6cc96d
KALSOM ketika menyertai operasi berkenaan. Foto FB Kalsom

Zulkifli berkata, operasi dijalankan itu bukan sahaja untuk menyelamatkan kanak-kanak berkenaan malah mengekang dari berleluasa di tempat tumpuan ramai.

“Bagi memastikan aktiviti tidak sihat ini (mengemis) terus meluas JKM sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan sekiranya terdapat pembabitan dalang lain yang melindungi eksploitasi kanak-kanak terbabit.

“Setakat ini kita hanya membuat andaian jangkaan belum lagi dapat disahkan secara rasmi sama ada betul terdapat dalang.

“Justeru itu siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengesan pihak itu selain memastikan ia tidak menjadi ‘trend’ yang boleh merosakkan usaha kerajaan negeri dalam menyambut Tahun Melawat Melaka 2024 (2024),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1254
Kongsi :
Previous post Zon Bebas Kenderaan : MBMB dan peniaga Medan Samudera cari titik persamaan
Next post Lelaki maut terjatuh dari tingkat 17 kondominium selepas tikam isteri
Ubah saiz-+=