Sorting by

×

31 pendatang tanpa izin ditahan dalam operasi di ibu kota

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

KUALA LUMPUR, 7 Jan – Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur menggempur tiga kawasan panas lokasi tumpuan pendatang tanpa izin di sekitar ibu kota  malam ini dan menahan 31 warga asing atas pelbagai kesalahan.

Operasi bermula pukul 9.30 malam itu berakhir pada 11 malam dengan  menumpukan di kawasan panas  sekitar pusat beli-belah Pavilion di Bukit Bintang, Suria KLCC dan Pintasan Saloma.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Jafri Embok Taha berkata mereka yang ditahan berumur  lingkungan 19 hingga 50 tahun dan disiasat mengikut Seksyen 15(1) c Akta Imigresen 1963 kerana tinggal lebih masa dan 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas.

“Pendatang tanpa izin yang ditahan melibatkan seramai empat orang warga Indonesia, Bangladesh (lapan), India (enam), Pakistan (empat), Nepal (empat), Filipina (tiga) Afganistan dan Syria masing-masing seorang,” katanya dalam sidang media selepas operasi berkenaan di KLCC di sini malam ini.

Seramai 42 anggota terlibat dalam operasi berkenaan selain dibantu empat petugas Jabatan Pendaftaran Negara.

Img 5259
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Jafri Embok Taha. Foto JIM

Jafri berkata operasi malam ini dijalankan hasil risikan selama seminggu susulan aduan awam berhubung kebanjiran pendatang tanpa izin di kawasan berkenaan.

“Semua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Kuala Lumpur untuk tujuan dokumentasi,” katanya.

Dalam pada itu Jafri memberi amaran JIM akan terus meningkatkan operasi bagi memastikan ibu negara bebas daripada pendatang tanpa izin.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1045
Kongsi :
Previous post MBMB terima dua anugerah MBOR pada Pesta Gendang Nusantara
Next post Pesta Gendang Nusantara: Seni pergendangan terhenti yang dikembalikan
Ubah saiz-+=