KM pelawa pelajar IPT bersama majukan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

LENDU 6 Januari – Semua mahasiswa intitusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini dipelawa untuk bersama-sama Kerajaan Negeri dalam membangunkan Melaka sebagai sebuah negeri tersohor.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penglibatan pelajar IPT sama ada awam atau swasta sangat penting dalam menjayakan apa jua agenda yang dibawa oleh Kerajaan Negeri.

Ini jelasnya, termasuklah dalam sektor pelancongan, kesenian dan kebudayaan memandangkan tahun ini merupakan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Saya amat menggalakkan penglibatan pelajar khususnya pelajar-pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang ada di tiga kampus di Melaka untuk melihat bidang-bidang yang boleh diceburi dalam mempromosikan TMM2024 terutama dalam bidang seni dan budaya.

“Ini kerana Bandar Melaka akan diwarnai mural-mural baharu, jadi saya meminta UiTM membuat satu ‘storyboard’ berlandaskan konsep Kesultanan Melayu Melaka yang akan menjadi satu tarikan kepada pelancong sepanjang perjalanan mereka masuk ke Melaka.

“Saya percaya ini secara tidak langsung membentuk jati diri Negeri Melaka sebagai sebuah negeri bersejarah dan tersohor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan #MC Live 7.0 Wahana Komunikasi dan Penerbitan di Dewan Taming Sari UiTM Kampus Alor Gajah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM Prof. Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Rose; Naib Canselor UiTM Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib@Sahibuddin dan lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Ab Rauf turut mengajak pelajar UiTM untuk terlibat sebagai urusetia pada tahun hadapan bersempena Hari Pelancongan Dunia atau World Tourism Day 2025 (WTD 2025) yang disertai delegasi 155 buah negara.

Katanya, penyertaan pelajar-pelajar itu dapat memberi pendedahan cukup berharga mengenai penganjuran program di peringkat antarabangsa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1005
Kongsi :
Previous post Mayat tanpa kepala, kaki dan tangan ditemui dalam longkang
Next post Bidang kewartawanan perlu seiring arus kemodenan – KM
Ubah saiz-+=