Sorting by

×

COVID-19: MKHA rayu kerajaan bantu ahli

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat

AYER LIMAU 12 Nov. – Persatuan Kampungstay dan Homestay Malaysia (MKHA) merayu kerajaan menyediakan insentif khusus untuk membantu ahlinya yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

Ahli MKHA di Sabah paling teruk terjejas akibat peningkatan kes pandemik COVID-19 sejak beberapa minggu lalu.

Presidennya, Zohaime Muhamad Sori berkata, terdapat lebih 1,000 ahli MKHA di Sabah yang membuat pelbagai pinjaman untuk memperindah inap desa masing-masing, selain membeli kenderaan khusus untuk tetamu sama ada pelancong tempatan atau asing.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu sebelum digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), jumlah tetamu boleh dibilang dengan jari.

Presidennya Persatuan Kampungstay dan Homestay Malaysia (MKHA) Zohaime Muhamad Sori

“Ia membabitkan lebih 4,000 ahli MKHA di seluruh negara tetapi sejak kes COVID-19 meningkat di Sabah beberapa minggu lalu, impaknya amat teruk bagi ahli kami di Negeri di Bawah Bayu,” katanya di Kampung Ayer Limau, di sini hari ini.

Sehubungan itu, MKHA meminta kerajaan menyediakan insentif khusus untuk ahli persatuan itu yang amat terkesan dengan pandemik COVID-19.

Beliau berkata, bagi ahli MKHA yang tidak membuat pinjaman untuk meningkatkan kemudahan penginapan, pandemik itu tidak memberikan impak besar tetapi, bagi mereka yang komited memajukan sektor berkenaan sebagai sumber pendapatan utama, pelaburan besar mereka terhalang oleh COVID-19.

“Boleh dikatakan sejak PKP Mac lalu hingga sekarang, kadar penginapan tetamu di ‘kampungstay’ atau ‘homestay’ adalah kosong.

“Keadaan itu amat menekan ahli yang bergantung sepenuhnya kepada kehadiran tetamu untuk menjelaskan pinjaman masing-masing,” katanya.

PELANCONG asing bersama keluarga angkat masing-masing di ‘kampungstay’ Kampung Ayer Limau, Masjid Tanah.
– Foto Din Ahmad

Beliau berkata, ahli persatuan itu mengeluh apabila Belanjawan 2021 yang dibentangkan minggu lalu tidak menyediakan sebarang insentif untuk mereka yang terbabit dalam sektor berkenaan.

Beliau menjelaskan, ‘kampungstay’ dan ‘homestay’ yang dipraktikkan ahli MKHA adalah berasaskan konsep sebenar inap desa, iaitu pelancong tempatan atau asing menginap di rumah penduduk yang menyediakan bilik khas untuk mereka.

Selain itu, tetamu juga berpeluang menikmati kehidupan di desa seperti menyertai pemilik rumah menoreh getah, menanam padi, menangkap ikan di sawah dan seumpamanya.

Sehubungan itu, beliau menyelar pemilik rumah yang melengkapkan rumah dengan perabot dan menyewakannya kepada tetamu dengan bersandarkan istilah inap desa sedangkan tetamu tidak menikmati kehidupan desa.

“Ia adalah inap desa ‘haram’ yang tidak berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dan mereka tidak terjejas dengan COVID-19 kerana tidak bergantung seratus peratus kepada tetamu inap desa.” katanya.

Views:

744
Kongsi :
Previous post Rai Deepavali dalam normal baharu
Next post Mangsa bimbang banjir lumpur, tembok runtuh berulang
Ubah saiz-+=