Tarikan bermalam di puncak berlatarbelakangkan Gunung Ledang
ASAHAN 3 Januari – Pembukaan Laman Resto di Kampung Gubah, Nyalas, di sini, bakal menjadi satu lagi produk tarikan baharu ekopelancongan di Asahan yang mampu menarik pencinta alam bertandang ke kawasan itu sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, lokasi berlatarbelakangkan pemandangan Gunung Ledang dan Gunung Melaka itu menyediakan tapak untuk perkhemahan, selain ‘glamour camping’ atau ‘glamping’ untuk orang ramai.
Selain itu, beliau yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri memaklumkan, terdapat pelbagai tarikan lain yang boleh dinikmati di kawasan itu yang mana ia dijangka bakal beroperasi bermula bulan ini.
“Laman Resto ini adalah sebuah restoran dan ia merupakan satu tarikan baharu untuk pelancong beriadah di Asahan di mana suasana hijau yang terdapat di lokasi terletak di atas puncak bukit itu memberi kemudahan pelancong untuk berkhemah dan glamping di situ.
“Keindahan dan suasana nyaman membolehkan pelancong melihat keindahan Gunung Ledang, Gunung Melaka dan Bukit Senggeh dengan dilengkapi pakej hidangan makanan tradisional masyarakat kampung,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu, dalam tinjauannya ke lokasi berkenaan bersama pengusaha pusat tarikan itu mendapati kawasan itu berpotensi besar dalam memperkasa sektor pelancongan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan.
Jelas Fairul Nizam, kedudukan lokasinya yang strategik juga membolehkan pelancong yang bermalam dapat berkunjung ke beberapa kawasan pelancongan yang lain seperti beriadah mendaki Bukit Batu Lebah, Bukit Gapis, tarikan Laman Tiga Budaya serta pelbagai lagi.
“Kita mencadangkan tarikan pusat ini perlu ada pakej penginapan buat orang yang datang di mana di dalam pakej itu turut disertai dengan pakej makanan tradisional dan eksotik seperti menu masak lemak salai cili padi, gulai maman, ayam hutan serta pelbagai lagi.
“Kita sedang memperincikan segala aktiviti yang menarik di kawasan ini seperti memberi pengalaman kehidupan masyarakat kampung di sini untuk didedahkan kepada pelancong yang datang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.