Anuar Zain belum puas hiburkan orang Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

BANDARAYA MELAKA 2 Januari – “Melaka, buatlah lagi konsert untuk kita,” itu harapan penyanyi popular tanah air, Anuar Zain yang belum puas menghiburkan peminat di negeri ini.

Penyanyi popular itu berasa amat terharu apabila lebih 30,000 pengunjung pada Sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dan Ambang Tahun Baharu 2024 di Dataran Pengkalan Rama, di sini pada Ahad bersorak sebaik dia memulakan persembahannya.

Empat dekad merentasi industri seni tanah air, penyanyi yang cukup dikenali dengan lagu ‘Sedetik Lebih’ menyifatkan sokongan hebat daripada peminat Negeri Melaka merupakan satu perkara yang luar biasa dialaminya.

Anuar berkata, sebagai anak jati Melaka diundang membuat persembahan sempena sambutan TMM2024 antara detik bersejarah sepanjang aktif dalam dunia seni.

“Saya cukup bahagia dan bertuah sebab dilahirkan di Melaka dan kali ini sangat-sangat hebat, kerana saya turut diiringi kumpulan penari kebudayaan yang mantap, ini membuktikan Melaka telah melakukan sesuatu yang hebat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau turut menggambarkan Melaka sebagai sebuah negeri yang begitu tenang, kaya dengan pelbagai budaya dan destinasi bersejarah.

“Sekarang ini meskipun pesat membangun dan terkenal sebagai destinasi pelancongan popular Melaka masih lagi mengekalkan ciri-ciri suasana kampung.

“Orang Melaka memang cukup bertuah sebab kita hidup dalam berbilang bangsa dan bersaudara. Saya sangat bahagia kerana sekarang Melaka merupakan antara destinasi pilihan rakyat Malaysia dan dunia untuk bercuti,” katanya.

Ditanya mengenai azamnya untuk 2024 Anuar berkata, dia akan sedaya upaya meletakkan misinya untuk melaksanakan sehabis baik dalam industri seni tanah air demi semata-mata memberikan kepuasan kepada peminatnya.

“Antara yang lain adalah saya sebaik mungkin akan layan semua orang sebaik boleh khususnya kepada para peminat, rakan-rakan media kerana mereka inilah yang membantu saya.

“Saya suka berkawan khususnya dengan peminat dan rakan-rakan media, saya harapkan industri muzik tanah air akan lebih berkembang dengan sokongan semua rakyat Malaysia.

“Semoga tahun ini Allah kurniakan kita kesihatan yang lebih baik, diberkati dan dikurniakan umur yang panjang serta rezeki yang penuh barakah. Saya doakan kepada rakan-rakan dalam industri ini dan seluruh rakyat semoga sentiasa cemerlang, positif serta dilindungi Allah SWT,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2268
Kongsi :
Previous post Lebih 150,000 pengunjung hadir sepanjang lima hari KIAM’23
Next post Melaka dekat di hati Siti Nordiana
Ubah saiz-+=