Hamdan ditidurkan, Senario mohon doa peminat
JOHOR BAHRU, 1 Januari – Anggota kumpulan Senario memohon peminat agar mendoakan kesembuhan rakan mereka, Hamdan Ramli yang kini ditidurkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini selepas didapati mengalami komplikasi buah pinggang.
Salah seorang anggota kumpulan Senario Azlee Jaafar berkata Hamdan atau nama sebenar Ahmad Hamdan Mohamed Ramli, 54, tidak pernah memaklumkan kepadanya dan juga anggota yang lain bahawa dia mempunyai sebarang penyakit sebelum ini.
“Kami ada ‘showcase’Â di Johor Bahru, program berhibur sambil beramal bagi membantu artis-artis veteran yang sakit seperti Zaleha Hamid dan Mat Sentul. Ketika Hamdan tiba Sabtu lepas, dia masih kelihatan sihat dan ceria, kami makan malam bersama-sama.
“Tetapi semalam, ahli keluarga memaklumkan dia tidak berapa sihat, jadi kami nasihatkan agar jangan datang ‘rehearsal’ dan berehat sahaja. Pada pukul 5 petang, kami dimaklumkan isterinya bahawa dia dimasukkan ke hospital dan keadaannya kritikal,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan HSA di sini hari ini.
Turut hadir melawat Hamdan di HSA anggota Senario yang lain, dikenali sebagai Wahid, Saiful Apek, Yassin dan Ilya Buang.
Bagaimanapun, Azlee, 54, berkata ‘showcase’Â Wonderful Night with Senariounion yang berlangsung di sebuah hotel di sini sempena sambutan Tahun Baharu malam tadi terpaksa diteruskan tanpa kehadiran Hamdan.
“Kejadian ini berlaku ketika Senario menyambut ulang tahun ke-27, semalam. Perkhabaran Hamdan ditidurkan adalah perkara yang sedih sekali bagi kami. Ini semua ujian, kami hanya mampu berdoa dan berharap rakyat Malaysia khususnya peminat untuk berdoa agar ada keajaiban dan dia kembali sihat seperti biasa,” katanya.
Sementara itu, Ilya atau Pak Ya, 56, berkata kemungkinan Hamdan berasa penat setelah mengharungi perjalanan agak lama iaitu kira-kira 12 jam dari Ipoh ke Johor Bahru dengan keadaan jalan raya yang sesak.
“Hamdan sekeluarga dari Ipoh ke Jenjarum, Selangor terlebih dahulu untuk mengambil anaknya, sebelum bergerak ke Johor Bahru. Keluarga Hamdan juga tiada saudara-mara di Johor, jadi mereka mengharapkan kami. Saya juga harap ada pihak yang sudi membantu memudahkan urusan keluarga Hamdan di sini,” katanya.
Dalam pada itu, isteri Hamdan, Norhamalini Ahmed, 53, berkata suaminya sangat teruja dan bersemangat untuk meneruskan program tersebut semalam walaupun dalam keadaan tidak sihat.
Mereka sekeluarga katanya terpaksa memujuk Hamdan untuk ke hospital kerana keadaan kesihatannya kurang baik apabila tiba di Johor Bahru, Sabtu lepas.
“Selain enggan ke hospital, Hamdan juga meminta agar dia tidak ditidurkan kerana mahu meneruskan ‘show’ sempena ulang tahun ke-27 Senario, dia mahu bertemu peminat. Dia sangat teruja, jadi kami mohon peminat mendoakannya agar cepat sembuh,” katanya.
Sementara itu, anak bongsu Hamdan, Nur Natasya Umairah, 21, memaklumkan ketika dalam perjalanan ke Johor Bahru, bapanya mengadu demam dan mengalami cirit-birit sebelum ahli keluarga memujuknya untuk ke hospital.
“Ayah tetap kata mahu teruskan ‘show’ dan minta pergi hospital selepas itu, namun kami sekeluarga tetap pujuk dia agar cepat ke hospital, pergi (hospital) awal boleh balik awal, kemudian baru ‘show’.
“Semasa dibawa, pemeriksaan awal mendapati tekanan darahnya stabil dan diletakkan di Zon Hijau terlebih dahulu sebelum pemeriksaan lanjut mendapati keadaannya kritikal dan perlu ditidurkan,” katanya yang merupakan seorang penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi di Selangor. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.